Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (46)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

قَالَ هَـٰذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ ۚ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا

“Dia menjawab: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu. Aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.”

Intisari penting

Ibrah akhir zaman

Bermula daripada zaman Sahabat, perbezaan pandangan telah timbul di kalangan umat Islam disebabkan berbagai faktor. Kurun demi kurun, perbezaan itu semakin berkembang sesuai dengan perubahan masa dan tempat. Mendepani cabaran semasa, muncullah mazhab-mazhab akidah, fiqh dan juga tasawuf yang pelbagai. Namun kesemuanya saling melengkapi antara satu sama lain. Jika timbul kekeliruan di kalangan pengikut terdahulu, mereka selesaikan dengan wacana ilmu untuk mencari penyelesaian.

Inilah pengajaran penting daripada ayat ini bagi umat akhir zaman. Syeikh Mutawalli Sya`rawi menyatakan Nabi Musa dan Nabi Khidr mewakili dua mazhab yang berbeza. Maka tidak harus keduanya bertembung, sebaliknya meraikan adab-adab berkhilaf pada had ilmu yang Allah kurniakan pada setiap mereka.

Namun dunia Islam hari ini tidak seharmoni yang diharapkan. Persengkataan berlaku sesama Islam berpunca dari sekecil-kecil perkara. Paling menyedihkan, sebahagian alim ulamak menjadi penyumbang utama perpecahan ini. Atas dasar menegakkan hujah dalam perkara furuk akidah atau syariah, akhirnya umat yang berkongsi tuhan, Nabi dan kiblat yang sama ini berpecah belah. Sampai mengheret kepada budaya takfiri dan perang saudara!

Pergaduhan elitis agama, umat marhaen menjadi mangsa. Nasib negara-negara miskin tidak terbela walaupun negara terkaya di dunia wujud dalam dunia Islam sendiri. Tanah suci di Palestin yang dibantai tidak dipedulikan walau dikelilingi negara Islam yang lain. Serangan akidah baharu seperti Liberalisme, Sosialisme, Materialisme, Humanisme, Feminisme dan seumpamanya tidak dihiraukan kerana lebih minat berbalah isu manhaj akidah tauhid 3 atau sifat 20. Kejahilan umat Islam terutama anak muda akibat budaya Hedonisme, Konsekuensialisme, Utilitarianisme dan sebagainya tidak ditangani kerana sibuk dengan isu qunut, zikir selepas solat dan Maulidur Rasul. Kesesatan politik, ekonomi dan sistem pentadbiran dibiarkan begitu sahaja, kerana yang lebih penting bagi mereka adalah mempertahankan manhaj Salaf dan Khalaf.

Inilah kejayaan musuh Islam memecah belahkan umat. Kerana persengkataan ini, umat Islam hilang kuasa politik khilafah Uthmaniah. Akibat sektarian ini, negara Islam berperang sesama sendiri. Bahana pertelagahan ini, penjajah menjarah tanah air umat pun masih sibuk tadah kitab!

Pakatan Yahudi-Nasrani (Baca: Israel-US-NATO) bekerjasama membantai umat Islam atas tujuan menguasai tanah air umat ini yang cukup strategik dari segi politik dan ekonomi dan sangat kaya sumber aslinya. Namun bilangan umat ini terlalu ramai. Tiada jalan lain untuk menakluknya kecuali memecah belahkannya.

Fenomena Arab Spring yang kita lihat hanyalah salah satu plot bagi mencapai matlamat tersebut. Kesannya masih belum reda, malah menunjukkan ianya akan semakin rancak berlarutan. Membenarkan amaran Nabi bahawa akan berlaku peperangan sesama Islam (rujuk tajuk ayat 74-76: Fitnah Pembunuhan).

Sebelum peperangan meletus, terlebih dahulu ketegangan perlu berlaku. Ketegangan boleh berpunca dari perselisihan dan perselisihan bermula daripada perbezaan. Maka, perbezaan perlu dicari dan diperbesarkan untuk mengheret negara-negara sasaran ke kancah peperangan. Inilah yang disebut di dalam rencana-rencana Barat seperti The Grand Chessboard dan konsultan kajian seperti Rand Corp.

Strategi Barat dalam mencetuskan ketegangan terutama di kawasan umat Islam dapat disimpulkan kepada tiga perkara:

(1) Perbezaan antara mazhab dan aliran. Mereka menyelinap ke dalam kumpulan ekstremis Sunni, Syiah dan Wahhabi lalu menyerang kumpulan lain. Media kemudian memperbesarkan isu ini (priming) menyebabkan berlaku persengketaan. Ulamak-ulamak dipergunakan bagi mengeluarkan fatwa mengkafirkan atau mengisytiharkan permusuhan terhadap pihak bertentangan, menyemarakkan lagi perbalahan di kalangan awam.

(2) Asobiyyah. Perbezaan kabilah dan kaum. Perbalahan kabilah dipanjangkan di Yaman. Pertembungan kaum antara Turkik, Kurdi, Pashtun, Baloch, Parsi, Arab dan sebagainya diperbesarkan walaupun mereka berkongsi mazhab akidah dam fiqh yang sama. Ini berlaku di Syria, Turki, Iran, Pakistan, Afghanistan dan Iraq.

(3) Pertembungan antara rakyat dan pemerintah. Atas dasar demokrasi, negara-negara sasaran akan disuntik semangat kebangkitan rakyat menentang rejim diktator seperti yang berlaku di Syria, Iraq dan Yaman. Ia turut berlaku di negara yang sudah mengamalkan demokrasi seperti Iran. Ironinya ia tidak berlaku di negara sekutu AS seperti Saudi, Bahrain, UAE, Qatar dan Jordan.
(Untuk ulasan lanjut boleh rujuk buku Eskatologi Islam: Malhamah, Dajal Dan Amerika)

Umat perlu sedar akan muslihat ini. Perlu bangkit membina kesatuan dan tidak terpedaya tipu daya musuh. Jangan termakan suapan fitnah sektarian yang hanya mengembalikan Asobiyyah Jahiliyyah terlarang.

Inilah peranan gerakan Islam yang sepatutnya dimainkan. Di dalam Usul Isyrin Imam Hasan al-Banna telah menegaskan bahawa jamaah ini jangan terjun kepada mana-mana sektarian Islam, sebaliknya mewakili aliran seluruh umat Islam. Laksana sebuah payungan khilafah yang mengiktiraf semua aliran Islam sebagai umat yang satu, menerima semua yang sanggup berjuang demi Islam tanpa mengira latar belakang dan membina ketamadunan dengan kepakaran bangsa di setiap belahan dunia.

Idea taqrib Sunni-Syiah yang digagaskan oleh gabungan pemimpin gerakan Islam sedunia sekitar dekad 90-an lalu amat baik untuk diteruskan. Bermula dengan institusi taqrib di Kaherah tahun 1984 membawa kepada penubuhan Maj’ma Taqrib (The World Forum for Proximity of Islamic Schools of Thought).

Idea ini perlu dikembangkan kepada beberapa bentuk lain seperti Majma` Taqrib Salaf-Khalaf. Tujuannya adalah mencari titik persamaan yang sebenarnya lebih banyak daripada titik perbezaan. kemudian berbincang secara ilmiah atas titik perbezaan hingga mencapai kata sepakat sama ada memilih satu pandangan, atau bertoleransi dengan pandangan masing-masing. Pemimpin negara Islam yang mewakili dua kelompok ini perlu memainkan peranan menjayakan matlamat murni ini.

Antara adab berkhilaf yang diajarkan di dalam kisah kedua Nabi di atas adalah berbincang dan mendapatkan penjelasan terperinci secara ilmiah. Walaupun pada mulanya timbul keraguan, tetapi setelah diperjelaskan mereka bersetuju dengan ilmu masing-masing. Kisah ini tidak memutuskan siapa betul siapa salah walaupun kebenaran di sisi Allah hanya satu.

Paling penting, kisah ini berakhir dengan tiada persengkataan antara dua kekasih Allah ini. Bahkan di akhir kisah menurut riwayat Ibn Abi Dunya, al-Baihaqi dan Ibn Asakir, Nabi Musa meminta nasihat daripada Nabi Khidr lalu diberikan nasihat-nasihat yang sangat baik sebelum mereka berpisah.

ALANG IBN SHUKRIMUN
11 Ramadhan 1441
4 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 4/5/2020

- Advertisement -