Segerakan pertanian bandar semasa PKP

bandar
- Advertisement -

TEMPOH ‘istirehat’ kesan daripada pandemik COVID-19 ini perlulah diambil peluang oleh masyarakat di kampung, pinggir bandar dan bandar untuk melaksanakan penanaman bagi menampung keperluan asas seharian.

‘Berbudi kepada tanah, tanah tidak tipu’ merupakan salah satu peribahasa yang menggalakkan masyarakat hari ini menjalankan aktiviti pertanian. Laksanakan secara kecil-kecilan.

Pertanian pada masa kini tidak tertakluk dengan konsep ruang tanah yang luas, modal yang tinggi, kotor serta tidak menjamin masa hadapan. Masyarakat di kampung tiada masalah dengan ruang tanah yang luas. Mereka mampu bercucuk tanam di sekeliling halaman rumah. Bagaimana pula dengan masyarakat pinggir bandar dan bandar. Mereka mempunyai ruang yang terhad. Namun begitu, Konsep Pertanian Bandar boleh dipraktikkan.

Laporan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bertarikh 3 April 2020 melaporkan bahawa cuaca di Malaysia diramal agak stabil sehingga September 2020. Kombinasi kadar penurunan hujan yang sekata dan kelembapan yang sederhana adalah amat sesuai untuk menjalankan aktiviti pertanian.

- Advertisement -

Melalui program pertanian bandar ia dapat membantu isi rumah di bandar meringankan kos sara hidup dan menjimatkan kos dapur melalui pengeluaran sendiri. Berdasarkan kepada situasi kini, aktiviti penanaman sayur-sayuran dan laman dapur penduduk pinggir bandar dan bandar boleh dipraktikkan. Contoh sayur-sayuran yang sesuai ditanam adalah jenis berdaun (Sawi, Kangkung, Bayam) dan jenis berbuah (Cili, Terung dan Tomato), manakala tanaman ‘dapur’ seperti halia, kunyit, serai dan daun kesum.

Melaksanakan penanaman berskala kecil ini adalah mudah untuk diuruskan. Bermula dengan penyediaan tanah, pembajaan, pengurusan perosak dan penyakit serta penuaian, semua golongan mampu laksanakan.
 
Dengan adanya ‘laman dapur’ dan ‘kebun sayur’ dapat menjimatkan masa, duit poket dan kita dapat mengelakkan daripada ‘berhimpun’ di dalam kedai dan dapat menjaga jarak sosial.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), hasil penelitian yang dijalankan mendapati, satu keluarga membelanjakan purata RM350 sebulan untuk membeli sayur-sayuran, manakala kajian yang lain menyatakan 50 hingga 70 peratus daripada pendapatan mereka untuk mendapatkan makanan.

Menerusi pemilikan ‘kebun’ sendiri, masyarakat bandar dan pinggir bandar mampu mengurangkan kos perbelanjaan dapur dalam jumlah yang minimum.

Laporan daripada Dr. Haliza Abdul Rahman (UPM), seramai 63,130 penduduk bandar dan pinggir bandar telah menyertai program ini di 2,715 lokasi di seluruh negara. Tidak mustahil penyertaan ini bertambah ramai di musim pandemik ini. Beberapa cadangan bagi menarik minat penghuni untuk bercucuk tanam adalah seperti berikut:

(1) Melaksanakan aktiviti bersama keluarga mampu mengeratkan ikatan kekeluargaan dan mampu mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni.
(2) Tanam tumbuhan yang boleh dimakan atau dimanfaatkan bersama jiran tetangga.
(3) Cari tanaman yang mudah untuk tumbuh dan menghasilkan aroma bagi menenangkan fikiran seharian di rumah.
(4) Pandai menyusun dan menghias tanaman supaya kelihatan menarik dan menjadi sebahagian daripada terapi minda.
(5) Membangkitkan semangat kempen ‘hijaukan bumi’ dan ‘Jom Bertani’.
(6) Menggunakan gajet dan teknologi untuk berkongsi kejayaan dan cabaran dalam melaksanakan pertanian bandar bersama rakan sosial.

Walaupun pertanian bandar tidak dapat menyelesaikan semua masalah pengeluaran dan pengedaran makanan negara, namun ia boleh membantu penduduk bandar dan pinggir bandar mengurangkan kos sara hidup serta menjadikan kita lebih sihat dengan mengeluarkan peluh setiap hari.

Data daripada FAO (1999) menyatakan bahawa 800 juta orang di seluruh dunia terlibat dalam pertanian bandar dan menjadi penyumbang untuk rantaian makanan kepada penduduk bandar.

Namun terdapat beberapa kekangan, iaitu kekurangan kawasan tanah, kemahiran dan masalah yang paling utama adalah keperluan penjagaan seperti penyiraman yang kerap (1 – 2 kali sehari), penggunaan baja dan masa untuk mengutip hasil serta penghuninya yang sentiasa sibuk dengan aktiviti seharian.  

Selain itu, dalam melaksanakan pertanian bandar di Malaysia, beberapa perkara yang perlu diteliti seperti keperluan perundangan, kesediaan tanah, kesesuaian lokasi, dan jenis tanaman selain sikap dan pemikiran negatif individu, komuniti, organisasi atau pihak berkepentingan terhadap pertanian bandar itu sendiri perlu dididik dan dihapuskan secara ‘total’.

Kejayaan Pertanian Bandar adalah bergantung pada individu yang melaksanakan. Rebutlah peluang menjadi petani bandar bermula daripada hobi kepada seorang yang mungkin bergelar pengeluar bahan makanan negara. Dapatkan nasihat yang betul daripada organisasi Kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Universiti Awam yang mempunyai kepakaran dalam bidang Pertanian Bandar.

Tuntasnya, semua pihak memainkan peranan yang amat penting dalam mengubah senario kurang berminat melibatkan diri dalam aktiviti pertanian kepada berjinak-jinak untuk memulakan menanam. Timbulkan minat untuk bertani dan menjadikan bertani sebagai satu hobi yang berfaedah.  

Ambillah peristiwa COVID-19 ini sebagai pengajaran kerana ianya datang secara tiba-tiba. Alhamdulillah Malaysia masih ada ‘bekalan’ kewangan yang cukup besar untuk memastikan kehidupan rakyatnya kekal terjamin. Tetapi bagaimana dengan kewangan masing-masing, ‘tepuk dada tanya selera’. Ayuh mulakan Program Pertanian Bandar.

DR. SYARI JAMIAN
Pensyarah Kanan
Jabatan Perlindungan Tumbuhan,
Fakulti Pertanian UPM
Pakar Serangga Pertanian
(Kawalan Biologi & Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB))
Email: [email protected]
HP: 013-665 6607 – HARAKAHDAILY 4/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -