Madrasah kumpul dana bantu penduduk terjejas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli Jawatan Kuasa (AJK) dua madrasah di DUN Bunut Payong mengambil inisiatif mengumpul dana bagi membantu penduduk yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Masjid Al Syakirin Kampung Bawah Lembah dan Masjid al Muhsinin Kampung Belukar mengumpul dana dalam kalangan ahli-ahli kariah bagi membantu penduduk yang terjejas.

- Advertisement -

Pengerusi Masjid al Muhsinin Kampung Belukar Jalan Telipot Abdul Razak Mamat berkata, hari ini pihaknya mengagihkan sumbangan keperluan harian kepada penduduk di sekitar kampung tersebut.

Katanya sebanyak 90 bungkusan makanan asas yang mengandungi gula, minyak masak, sardin, biskut, serbuk teh, kicap, bihun dan sebagainya bernilai RM50 diagih kepada penduduk.

Selain itu seorang ahli perniagaan Azizi Md Yusoff dan pegawai kerajaan pula menyumbang sebanyak 90 kampit beras seberat 5 kg setiap kampit.

“Setiap penduduk yang disenarai menerima barangan keperluan harian bernilai hampir RM70 yang dipungut sesama penduduk.

“Selain itu ada juga usahawan menyumbang wang zakat perniagaan yang diagih kepada asnaf di kampung tersebut,” katanya di sini.

Manakala Masjid Asyakirin pula mengagihkan 150 bungkus makanan asas bernilai RM60 kepada penduduk yang terjejas di Kampung Bawah Lembah.- HARAKAHDAILY 4/5/2020

- Advertisement -