Perselisihan ideologi selepas Nabi Isa hingga Dark Ages

- Advertisement -

LATAR belakang

(1) Sebelum ini saya ada menulis mengenai Council Of Nicaea [1] yang merupakan detik pertama perubahan dunia falsafah ke era kegelapan. Situasi ini banyak ditulis dalam sejarah.

Ia dipanggil sebagai era kegelapan (dark ages) kerana era tersebut berlakunya kongkongan minda yang dahsyat. Bahasa mudahnya, tiada siapa yang boleh ‘cerdik’ melebihi gereja.

(2) Zaman itu Eropah yang dikenali sebagai Empayar Rom Byzantine (Rom Timur) diperintah oleh Costantine Agung. Pemerintahan ketika itu di bawah pengaruh orang-orang agama (Kristian).

Walaupun majoriti ilmuan ajaran Nabi Isa bertegas dengan kenabian Nabi Isa A.S, namun Costantine memilih pandangan yang mengatakan bahawa Nabi Isa itu dengan aliran trinity, anak tuhan dan sebagainya.

- Advertisement -

(3) Dalam artikel yang lalu juga saya telah kaitkan hubungan atau jalur bagaimana orang-orang Yahudi mula terkesan dengan Hellenistik sehingga mencorak minda pelapis-pelapis mereka.

Secara khususnya ada di kalangan tokoh agamawan Kristian, pada mulanya percaya Nabi Isa A.S telah pun mati. Ada yang percaya Nabi Isa dihidupkan semula dan bersembunyi.

Namun, selepas daripada itu ada yang mengatakan Nabi Isa A.S pergi menemui Tuhan sepertimana aliran اليعقوبية dan النسطورية, dengan tafsiran yang terpesong.

(4) Latar belakang ini menggambarkan bagaimana munculnya era penguasaan gereja dan pengaruh-pengaruh kesesatannya menjadikan zaman itu dikenali sebagai Dark Ages.

Flashback penyelewengan ajaran Nabi Isa A.S

(1) Dalam tulisan ini mungkin saya tidak ceritakan bagaimana penyelewengan terhadap Nabi Isa A.S. Ia memerlukan tulisan yang khusus yang lebih panjang. Khususnya penceritaan mengenai Paulus.

Paulus mengakui pernah bertemu Nabi Isa A.S. Namun, beliau tidak diterima oleh al-Hawariyyun yang disebut dengan Apostles. Salah seorang dari kalangan mereka ialah Joseph dikenali sebagai Barnabas.

(2) Barnabas adalah seorang Yahudi dan mempengaruh kelompok Apostles untuk menerima Paulus yang diragui itu. Ringkas cerita apabila Paulus sudah terkenal dengan dakyahnya, beliau mula berpecah.

Beliau membawa haluannya sendiri. Beliau memperkenalkan konsep Salvation iaitu Nabi Isa A.S disalib untuk menebus dosa. Pengaruh Paulus semakin besar dan mendapat tempat di hati pemerintah.

(3) Di situlah penyelewengan agama asal Nabi Isa A.S terseleweng. Hasil dakyah Paulus ini lahirlah aliran Katholik yang bermaksud sejagat. Fenomena ini menyebabkan berlakunya banyak aliran di kalangan mereka.

Ketika ini jugalah munculnya teori bahawa Nabi Isa A.S itu adalah anak tuhan. Konflik ideologi ini berterusan sehinggalah cuba disatukan oleh Costantine dalam Council Of Nicaea yang diceritakan di awal tadi.

(4) Ketika Council Of Nicaea kali pertama di Sepanyol, hanya berkonsepkan ‘dwinity’ iaitu tuhan bapa, tuhan anak. Namun berbeza dalam persidangan kali kedua yang diadakan di Istanbul (Costantinople).

Persidangan kali kedua diadakan pada 381 M, dan munculnya konsep ‘trinity’. Walaupun Costantine cuba menyatukan mereka, namun menjadi parah apabila beliau tidak menyebelahi kebenaran pada perhimpunan kali pertama lagi.

Ortodoks dan Katholik

(1) Ringkas cerita mengenai penyelewengan ajaran Nabi Isa bermula di era kemunculan Paulus. Dari titik inilah muncul Kristian Katholik. Manakala sebelum Paulus dianggap sebagai Ortodoks.

Ortodoks sebenarnya bukanlah satu kumpulan khusus seperti Katholik. Ia asalnya cuma istilah yang digambarkan kepada ajaran sebelum diubah suai oleh Paulus.

(2) Ada yang mengatakan Ortodoks itu sinonim dengan konservatif. Ada juga yang mengistilahkan Ortodoks itu dengan ajaran asal Nabi Isa A.S. Banyak lagi pandangan-pandangan mengenai hal ini.

Justeru, mereka yang berpegang dengan cara lama (Ortodoks) menubuhkan gereja-gereja mereka. Begitu juga Katholik. Seolah-olah sudah berubah kepada perselisihan mazhab (aliran).

(3) Ada yang mengatakan bahawa Ortodoks itulah Katholik. Tetapi bukan Katholik yang lahir daripada ajaran Paulus. Gereja Ortodoks pula ada dua jenis, Ortodoks Timur dan Ortodoks Oriental.

Perbezaan antara kedua-dua Oriental dan Timur ini pun agak banyak juga. Belum lagi perselisihan dengan Katholik ajaran Paulus. Apatah lagi perselisihan sesama Katholik.

(4) Ringkas ceritanya, perselisihan dalam agama Kristian itu cukup banyak dan berselirat. Bible sendiri ada banyak versi. Bahkan juga percanggahan sesama versi Bible.

Perselisihan yang banyak dilihat pada hari ini, sedikit sebanyak ini menggambarkan betapa kecamuknya di awal zaman kegelapan, yang turut terkesan dengan Hellenistik.

Perselisihan ideologi

(1) Contoh perselisihan di kalangan mereka ialah Ortodoks Oriental mengatakan Nabi Isa itu adalah satu kudrat dari dua kudrat. Manakala Ortodoks Timur pula satu peribadi dalam dua kudrat.

Contoh perselisihan antara aliran النسطورية dengan اليعقوبية pula ialah sama ada Nabi Isa A.S itu tuhan yang turun dari langit atau anak tuhan. Ada pula yang mengemukakan konsep Trinity.

(2) Pasca Council Of Nicaea memperlihatkan bagaimana ahli-ahli falsafah lebih terarah kepada konsep keagamaan. Hasil persidangan itu, lahirlah Nicene Creed.

Nicene Creed ialah satu penyataan keimanan yang disusun dalam persidangan tersebut. Selain Nicene Creed, ada satu lagi Creed ialah Apostles Creed yang merujuk kepada al-Hawariyyun terdahulu.

(3) Contoh perselisihan, Ortodoks Oriental dan Asyaria Timur menggunakan Nicene Creed dengan kata ramai (kami percaya). Manakala Ortodoks Timur dan Katholik dengan kata tunggal (saya percaya).

Selain perselisihan ini, munculnya banyak aliran sepertimana yang saya nyatakan dalam artikel sebelum ini. Antara yang masyhur ialah Monosticism, yang bersifat ala-ala Stoicism.

(4) Fahaman Monoticism mula dipelopori oleh Anthony The Great (251-356) dari Mesir. Beliau dikenali sebagai bapa bagi segala paderi. Membawa aliran kesederhanaan (zuhud) yang turut mempengaruhi Ortodoks dan Katholik.

Pada zaman ini juga munculnya tokoh falsafah yang dikenali sebagai Arius (256-336). Beliau membawa fahaman Arianism yang bertembung dengan fahaman Homoousionism dalam bab ketuhanan.

Falsafah yang mencorak Dark Ages

(1) Aliran Monosticism tadi diteruskan oleh Basil Of Caeasarea (330-379). Beliau antara yang kuat mempertahankan Nicene Creed, dan menentang ideologi Arianism (anak-anak murid Arius).

Basil juga bertembung ideologi yang dibawa oleh Apollinaris (310-390), yang boleh dikatakan menggunakan konsep Dialog Plato dalam Perjanjian Baru.

(2) Basil menganggap ideologi Arianism dan Apollinaris adalah sesuatu yang bid’ah (heresy). Yang turut sealiran dengan Basil ialah Gregory Of Nyssa (335-395) yang kuat berpegang dengan Nicene Creed.

Gregory Of Nyssa sama fahaman dengan Gregory Of Nazianzus (329-390) yang begitu tegar mempertahankan konsep Trinity. Beliau antara yang terawal membawa masuk pengaruh Hellenistik ke dalam gereja.

(3) Zaman Costantine memerintah Rom, kita saksikan bagaimana beliau bersikap keras terhadap perselisihan. Mana-mana ideologi yang berlainan dengan silibus rasmi, akan dihapuskan.

Ahli-ahli falsafah yang sealiran dengan Kristian mazhabnya, tiada masalah. Bahkan beliau meletakkan kedudukan istimewa kepada mereka ini. Ini menjadikan sistem politik Rom ketika itu didominasi oleh orang gereja.

(4) Istilah Dark Ages (Zaman Kegelapan) Eropah mula dicetuskan oleh Francesco Petrarca (1304-1374) menggambarkan suasana kejumudan dan pembodohan akal.

Falsafah yang asalnya adalah pemikiran, bertukar ke dimensi kejumudan. Iaitu falsafah yang terikat dan terkongkong dengan mitos, pendewaan, kepercayaan mistik dan sebagainya.

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3707347592640307/?d=n

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 2/5/2020

- Advertisement -