Kawal aliran tunai dengan cara memberi

aliran
- Advertisement -

BARANGKALI ada yang menyangka kawal aliran tunai ialah dengan cara ‘save’ duit gila-gila. Malangnya, itu bukan cara yang tepat untuk kawal aliran tunai.

Guru kewangan saya, Robert T Kiyosaki ialah seorang warga Amerika Syarikat berdarah Jepun. Walaupun beliau mengaku bahawa beliau ialah seorang Kapitalis, namun falsafah ‘memberi’ beliau menarik hati saya.

Dalam konteks kewangan, beliau percaya kepada aura bersedekah (the power of giving). Kata beliau ‘in order to get something, you first need to give’ maksudnya jika anda ingin mendapatkan sesuatu, anda perlu memberi terlebih dahulu.

- Advertisement -

Logik dalam memberi

‘Memberi’ bermaksud mengeluarkan wang tanpa balasan. Dalam bahasa mudahnya, duit keluar. Secara tak langsung, ‘memberi’ juga akan mengakibatkan baki duit tunai kurang. Dari sudut matematiknya betul.

Namun dari sudut prinsipnya, duit yang keluar itu akan menambah item duit masuk pada masa akan datang. Ini ialah formula universal. Terpakai untuk semua manusia. Muslim dan juga bukan-Muslim. Namun ia tak dapat difahami oleh ilmu matematik.

Jika anda rajin membaca, anda akan jumpa perangai ‘memberi’ ini ada pada hampir semua individu yang berjaya dalam kewangan. Sama ada dia Muslim atau bukan-Muslim. Kenapa mereka tetap ‘memberi’ walaupun dari sudut matematiknya ia tidak logik? Kerana percaya.

Saya tidak berniat untuk menyebut ayat al-Quran atau Hadis berkaitan kelebihan sedekah. Cukup untuk saya sebut, ‘buat dan anda akan percaya’. Itulah juga tarikan kepada ramai orang bukan-Islam setelah mereka sendiri lihat habuan dunia yang mereka dapat disebabkan ‘memberi’.

Cuma sayangnya mereka itu (orang bukan-Islam) meraba-raba tanpa panduan jelas. Tidak ada perkiraan akhirat atau dosa-pahala. Semua dibuat atas pengaruh naluri dan pertimbangan mata kepala di dunia. Walaupun dari sudut logiknya tak dapat diterima.

Panduan memberi

Adakah ini bermaksud orang Islam lebih mudah untuk ‘memberi’ berbanding orang bukan-Islam? Belum tentu. Secara umum, kedekut ialah penyakit pada setiap orang. Ia perlu dirawat secara berperingkat. Berikut saya berikan panduan umum berkaitan ‘memberi’ atau sedekah:

(i) Awasi item haram daripada item duit masuk sebelum anda bersedekah. Ia bakal merosakkan aliran tunai anda sekalipun anda bersedekah. Sila rujuk tulisan saya yang terdahulu bertajuk Aliran Tunai: Antara Angka dan Hukum.

(ii) Jangan tertipu dengan ‘sedekah’ dalam perkara haram yang tiba-tiba membuatkan item duit masuk anda semakin bertambah. Ini dinamakan sebagai ‘istidraj’. Secara zahirnya ia membawa nikmat. Hakikatnya ia membawa anda semakin jauh daripada Allah.

(iii) Dahulukan sedekah yang berstatus wajib sebelum sedekah yang berstatus sunat. Perkara ini perlu ulasan lanjut dalam ilmu hukum kewangan Islam. Cukup saya beri beberapa contoh sedekah wajib iaitu zakat, nafkah kepada orang dan haiwan di bawah tanggungan serta sedekah kepada jiran yang kebuluran.

(iv) Mulakan sedekah sunat dalam nilai yang paling sedikit setiap bulan. Tambah sedikit demi sedikit hingga anda berani untuk keluarkan sehelai duit yang paling besar daripada dompet anda.

(v) Tetapkan peratus tertentu setiap bulan untuk bersedekah berdasarkan jumlah pendapatan. Misalnya, anda tetapkan 5 peratus daripada gaji bulanan ialah untuk bersedekah. Jika gaji anda berjumlah RM2,000 bermakna RM100 untuk sedekah. Semakin gaji naik, semakin meningkat sedekah anda. Anda boleh masukkan ansuran zakat pendapatan sebagai sebahagian daripada peruntukan itu.

Point terakhir ini bukan suatu yang terlalu idealistik. Robert T Kiyosaki yang saya ceritakan awal tadi mengesyorkan supaya 10 peratus daripada pendapatan bulanan ialah untuk tujuan ‘charity’ (kebajikan). Saya sendiri telah mempraktikkannya sejak beberapa tahun.

Memberi dan ilmu bajet

Kebetulan bulan Ramadan sekarang ini, saya syorkan anda memilih waktu yang paling baik untuk bersedekah iaitu 10 malam terakhir Ramadan. Jika salah satu malam itu ialah malam Lailatul Qadar, anda sendiri sedia maklum betapa besar ganjarannya di sisi Allah.

Kalau jumlah sedekah bulanan anda ialah RM100, bermakna setiap malam anda perlu keluarkan RM10 selama 10 malam. Disebabkan suasana PKP sekarang, anda boleh pindahkan saja duit anda secara online ke akaun masjid atau mana-mana pertubuhan yang anda yakini.

Jika anda tak buat bajet, bolehkah anda tentukan peratus tertentu daripada pendapatan bulanan untuk tujuan sedekah? Susah hendak dibayangkan. Jika ada lagi yang bertanya, saya simpulkan dengan contoh dialog berikut:

“Berapa nak sedekah?”
“Ikut berapa yang lebih.”
“Berapa yang lebih?”
“Buatlah bajet. Baru anda sendiri tahu berapa yang lebih.”

Saya tinggalkan anda dengan ayat al-Quran di bawah ini. Bandingkan ia dengan dialog saya sebentar tadi:

وَيَسْـَٔلُوْنَكَ مَاذَا يُنْفِقُوْنَ ۗ قُلِ الْعَفْوَۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللّٰهُ لَكُمُ الْاٰيٰتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُوْنَ (٢١٩)

“Mereka bertanya kepadamu (Muhammad), ‘Berapa yang patut mereka dermakan?’. Katakan, ‘Apa yang lebih (dari keperluan).’ Demikian Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu berfikir.”

(al-Baqarah: 219)

HASNAN AB – HARAKAHDAILY 2/5/2020

*Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -