PKPB bukan ‘tiket’ bergerak bebas – KPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini merangkumi kebenaran kerajaan membenarkan hampir sebahagian besar sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan untuk beroperasi.

- Advertisement -

Kelonggaran ini diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam Perutusan Khas sempena Hari Buruh yang disambut semalam.

Ketua Polis Negara Dato’ Seri Abdul Hamid Bador berkata, meskipun kerajaan berikan kelonggaran, ia bukan ‘tiket’ kepada orang awam untuk bergerak bebas.

Memetik portal Bernama, Abdul Hamid meminta orang awam hanya keluar rumah jika perlu sama ada untuk keluar bekerja, membeli barangan keperluan harian dan mendapatkan rawatan kesihatan dengan beberapa kelonggaran lain yang dibenarkan oleh kerajaan.

“Saya menegaskan, jangan pula Isnin ini keadaan menjadi kelam kabut, kesesakan panjang berlaku dan orang ramai keluar sehingga keadaan menjadi tidak tentu arah,” kata Abdul Hamid.

Tambahnya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan pemantauan ketat di pelbagai laluan tikus yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

Pemantauan ketat sempadan tanah air ditekankan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya semalam sebelum PKPB dilaksanakan pada Isnin ini.

Ia bagi mengelakkan kemasukan pendatang asing ke negara ini yang berisiko menggagalkan usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, kata Abdul Hamid, PDRM dan ATM akan mengurangkan sekatan jalan raya mulai Isnin ini dan akan fokus kepada usaha menghalang kemasukan pendatang asing.

Ujarnya, pihaknya juga akan terus memantau dan menguatkuasakan semua aktiviti orang awam bagi memastikan amalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan kerajaan iaitu amalan penjarakan sosial dipatuhi.

Setakat ini, kes baharu positif Covid-19 daripada jangkitan tempatan menunjukkan bilangan penurunan manakala kes import iaitu kepulangan warganegara Malaysia dari luar negara telah menyumbang kepada bilangan peningkatan kes baharu.

Dalam ucapan Muhyiddin semalam, kebenaran sebahagian besar sektor ekonomi dan perniagaan masih tertakluk kepada penguatkuasaan SOP yang disarankan oleh World Health Organisation (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau menekankan tanggungjawab penjagaan kebersihan diri serta di premis perniagaan dengan mengamalkan langkah selamat untuk kesihatan mengikut amalan yang disarankan oleh KKM dan WHO.

Langkah SOP tersebut adalah sentiasa memastikan penjarakan sosial sekurangnya satu meter, sentiasa membasuh tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer dan memakai topeng muka.

Muhyiddin juga mengumumkan kebenaran aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan. – HARAKAHDAILY 2/5/2020

- Advertisement -