Bukti kerajaan prihatin kepada pelajar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membenarkan pelajar Institusi Pengajian tinggi (IPT) yang terkandas di kampus ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk pulang ke kampung halaman masing-masing adalah tepat.

Pengarah Strategik dan Pengurusan Risiko Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, keprihatinan kerajaan itu sangat tinggi memandangkan berada di bulan Ramadan yang mungkin memberi kesulitan kepada pelajar sekiranya masih berada di kampus.

- Advertisement -

“Kita melihat sekiranya pelajar ini dibiarkan berada di kampus mungkin menjadi satu kesulitan terutama pada bulan Ramadan dari sudut untuk berbuka puasa dan bangun sahur.

“Meskipun pelajar dibenarkan pulang, namun pematuhan kepada SOP (prosedur operasi standard) perlu dipatuhi bagi memastikan Covid-19 tidak dijangkiti dan menjangkiti,” katanya kepada Harakahdaily.

Wan Hasrina turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang amat menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar.

Beliau juga mengharapkan kerajaan terus memberi khidmat yang terbaik kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dengan menjaga kebajikan agar tiada siapa yang tersisih.

Jelasnya, rakyat hanya ingin melihat sebuah kerajaan yang prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan mereka.- HARAKAHDAILY 1/5/2020

- Advertisement -