Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 8)

- Advertisement -

ALLAH S.W.T mencipta manusia sebagai sebaik-baik ciptaan lalu mengurniakan pelbagai nikmat serta kebesaran. Malaikat dicipta hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah tanpa ada pilihan lain. Sementara haiwan tidak dikurniakan akal fikiran dan boleh berbuat apa sahaja tanpa batasan. Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi berpandukan wahyu serta akal yang dikurniakan. Anugerah Allah kepada manusia tidak sama, ada daripada kalangan mereka yang hidup selesa dan ada yang hidup merana. Ada yang Allah angkat darjat sesetengah mereka dan ada yang hina. Hal ini dinyatakan melalui firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَهُوَ ٱلَّذِی جَعَلَكُمۡ خَلَـٰۤىِٕفَ ٱلۡأَرۡضِ وَرَفَعَ بَعۡضَكُمۡ فَوۡقَ بَعۡضࣲ دَرَجَـٰتࣲ لِّیَبۡلُوَكُمۡ فِی مَاۤ ءَاتَىٰكُمۡۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِیعُ ٱلۡعِقَابِ وَإِنَّهُۥ لَغَفُورࣱ رَّحِیمُۢ

“Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengah yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.

[al-An’am: 165]

Manusia sebagai khalifah di muka bumi adalah dipertanggungjawabkan untuk mengurus kehidupan mengikut acuan Syariat Allah. Ada yang dikurniakan dengan pelbagai pangkat dan kedudukan untuk mengurus pentadbiran sesebuah negara dengan penuh amanah. Sesungguhnya, pangkat dan jawatan adalah anugerah sementara dan merupakan suatu ujian daripada Allah untuk melihat sejauhmana usaha menegakkan agama-Nya. Semasa era kegemilangan pemerintahan para Anbiya’ dan Khulafa’ Al-Rasyidin, Syariat Allah berjaya ditegak dan disebarkan ke seluruh pelosok alam.

Setelah kejatuhan khilafah Islamiah yang berakhir pada tahun 1924M, negara umat Islam mula difaraidkan oleh musuh sehingga pentadbiran negara sedikit demi sedikit dimasuki anasir Barat. Pemimpin yang beriman tetap berusaha mengembalikan semula sistem pemerintahan Islam yang adil seumpama era Nubuwwah, sementara pemimpin yang takbur dan selesa berada di kerusi empuk hanya mementingkan diri dan kroni. Perlu ingat, bahawa kuasa dan Kerajaan adalah milik mutlak Allah S.W.T. Dia yang menaikkan sesebuah Kerajaan dan Dia juga yang menjatuhkan sesebuah Kerajaan. Sejarah kuasa besar yang zalim lagi sombong sepanjang zaman hendaklah menjadi pengajaran. Betapa ramai yang dikurniakan nikmat kekuasaan, namun mereka tidak bersyukur bahkan kufur kepada Allah, lantas Allah hancurkan kekuasaan itu dalam sekelip mata. Firman Allah S.W.T:

وَلَقَدۡ مَكَّنَّـٰكُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ وَجَعَلۡنَا لَكُمۡ فِیهَا مَعَـٰیِشَۗ قَلِیلࣰا مَّا تَشۡكُرُونَ

“Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami sediakan (sumber) kehidupan untukmu. (Tetapi) amatlah sedikit kalangan kamu bersyukur.”

[al-A’raf: 10]

Bersyukurlah dengan nikmat pemerintahan anugerah Allah. Oleh itu, segala tuntutan Allah hendaklah menjadi keutamaan bahkan dasar dalam pentadbiran. Jika nikmat ini diketepikan dan kita lebih leka dengan pembangunan material semata-mata tanpa mementingkan pembangunan insan, dibimbangi kemurkaan Allah melalui pelbagai bala akan tiba. Semoga kita semua berusaha untuk mendirikan keizzahan Islam dalam diri kita, nescaya kelak Islam pasti tertegak di muka bumi ini.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
08 Ramadhan 1441 / 01 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 1/5/2020

- Advertisement -