Taubat serta tanafus di bulan Ramadan

taubat
- Advertisement -

DALAM kitab Jaliisuka Fi Ramadan karya Khaled bin Husin bin Abdul Rahman menyatakan bahawa apabila tiba Ramadan, orang beriman akan cepat-cepat berlumba untuk menggandakan ibadat dan taubat:

- Advertisement -

ما أجمل رمضان عندما يكون بداية للتوبة والإنابة، وميدانا للتنافس في الطاعات، ذلك الشهر الذي تحط به الخطايا وترفع به الدرجات وتعتق به الرقاب من النيران، وتضاعف به الحسنات

“Alangkah indahnya Ramadan apabila menjadi permulaan seseorang itu untuk bertaubat serta kembali kepada Allah. Ramadan juga menjadi gelanggang untuk berlumba-lumba melakukan ketaatan kepada Allah. Pada bulan tersebut dihapuskan segala kesalahan, diangkat darjat ketinggian, dibebaskan leher daripada api neraka dan digandakan segala kebaikan.”

Seluruh umat Islam sewajarnya mengambil peluang awal Ramadan untuk menyusun jadual seharian dengan lancar khasnya dalam tempoh PKP ini. Waktu membaca al-Quran, berterawih serta witir, membaca buku, berkuliah atau mendengar kuliah secara atas talian, membantu orang susah dan sebagainya mesti diselaraskan dengan baik supaya kemuncak Ramadan terasa kemanisannya. Zahirkan rasa penyesalan di atas keterlanjuran kita dan bertekad untuk meraih takwa dan Lailatul Qadar adalah seafdhal-afdhal agenda di waktu ini.

Sifat Tanafus atau berlumba-lumba berbuat amal ibadah dan kebajikan sangat dituntut. Namun, janganlah sifat tersebut membuahkan sifat mazmumah yang lain seperti riak dan takbur. Tanafus dalam erti kata sebenar ialah suka melihat diri kita menggandakan ibadat dan orang lain juga dapat melakukan ibadah dengan penuh tekun dengan saling bantu-membantu ke arah kesedaran itu. Semoga Allah S.W.T mengangkat darjat kita ke suatu tingkatan yang lebih baik pada bulan yang mulia ini. Ramadan mubarak!

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 25/4/2020

- Advertisement -