COVID-19: Tidak dapat mendekati jenazah

tidak
- Advertisement -

DALAM Risalah Ahkam Dhohaya Kuruna; Al-Ghasl Wa Al-Sholah Wa Al-Aza’ tulisan Dr. Esham Talimah menyatakan bahawa mangsa wabak penyakit COVID-19 sekiranya meninggal tidak boleh dimandikan bahkan hendaklah dijauhi:

- Advertisement -

الغسل والتكفين، والصلاة على الموتى، في زمن الاختصاص الآن، ولو أمكن تجهيز من يستطيع القيام بهذه المهام مع الميت، فلا بأس فهذا هو المطلوب، لكن لو تعذر ذلك، ففي هذه الحالة، يراعى حالة الأحياء، والمتوفى يسقط عنه فرض الكفاية المطلوب، لتعذر القيام به مخافة الضرر. وما يقال عن الغسل، يقال عن الصلاة عليه، فلو تعذرت أيضا مخافة العدوى، ففي هذه الحالة، يمكن دفنه، ويصلي عليه المسلمون صلاة الغائب فرادى. أما العزاء، ففي هذه الحالة يمنع شرعا اللقاء للعزاء، لأنه اجتماع يسبب ضررا للناس وانتقالا للعدوى، وذلك عند التيقن، أو التحذير من الجهات المختصة من ذلك.

“Memandikan jenazah (COVID-19), kafan serta solat ke atasnya di zaman yang serba ada kemudahan, jika memang boleh sediakan orang untuk menguruskannya, maka boleh uruskan jenazahnya, itulah sebaiknya. Namun sekiranya ada halangan untuk urus jenazah sebagaimana biasa, maka hendaklah diutamakan orang yang masih hidup. Orang mati (akibat COVID-19) gugur fardhu kifayah ke atas orang lain untuk menguruskannya kerana bimbang boleh mendatangkan mudharat kepada orang lain. Dan ketetapan hukum dalam memandikannya sama terpakai pada hukum solat jenazah. Sekiranya dikhuatiri boleh berlaku jangkitan, maka terus dikebumikan sahaja jenazah sementara orang ramai solat jenazah ghaib secara bersendirian. Begitulah juga dengan takziah, dilarang sama sekali bertemu (dengan keluarga mangsa) untuk takziah kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain dan jangkitan boleh menular. Demikian itu, apabila diyakini wabak penyakit itu boleh berjangkit dan adanya larangan daripada pihak yang berwajib.”

Asal dalam menguruskan jenazah adalah disunat meramaikan orang ketika solat serta menghantar jenazah ke kubur sehingga dikebumikan. Namun situasi ini sangat berbeza dengan menguruskan pesakit yang meninggal akibat wabak penyakit berjangkit seumpama penyakit COVID-19 yang melanda seluruh dunia. Para Fuqaha mengeluarkan pelbagai pandangan dan kita di Malaysia memakai pandangan agar jenazah tersebut hanya ditayamum setelah dibalut dengan plastik di tempat kematiannya. Pengebumian jenazah juga diuruskan oleh petugas yang terlatih dan tidak dibenarkan sama sekali melihat jenazah, mendekatinya apatah lagi membuka bahagian mukanya.

Sungguh pilu apabila anda menyaksikan pengurusan jenazah mangsa COVID-19. Solat dan pengebumiannya hanya beberapa orang sahaja. Wabak COVID-19 adalah pemisah antara orang yang tersayang. Anda tidak boleh lagi untuk melihatnya setelah dibawa untuk rawatan. Ketentuan hidup atau mati adalah dengan keizinan Allah jua, namun manusia mesti mencari ikhtiar untuk mengelak diri daripada wabak penyakit yang boleh membawa maut. Sayangi keluarga anda dan seluruh masyarakat dengan mematuhi arahan dan duduklah di rumah.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 2/4/2020

- Advertisement -