Kisah Al-Khansa’ binti Amru

- Advertisement -

NAMA sebenarnya ialah Tumadhir binti Amru bin Al-Harith As-Salmiyah. Digelar Al-Khansa’ yang bermaksud yang mempunyai hidung yang tidak mancung (pesek). Merupakan seorang penyair wanita terkemuka dengan bait-bait syair yang menyentuh hati dan kedukaan jiwa. Antara syair yang begitu memberi bekas kepada orang ramai adalah ratapan melalui syairnya khusus buat dua saudaranya yang terkorban dalam peperangan di zaman jahiliah iaitu Mu’awiyah dan Sakhr.

Al-Khansa’ memeluk Islam bersama kaumnya, Bani Salim ketika bertemu dengan Rasulullah S.A.W. Begitu dikenali dengan kekuatan peribadinya yang unggul dan tetap pendirian. Begitu komited berkarya dengan syair-syairnya yang menjadi kemuliaan baginya. Setelah memeluk Islam, beliau masih tetap melagukan syairnya yang meratap kematian kedua saudaranya walaupun ditegur ramai orang.

Al-Khansa’ begitu terkesan dengan sikap Amirul Mukminin Umar Al-Khattab kepadanya. Dalam keadaan orang lain berpandangan Umar seorang yang keras, tetapi tidak bagi Al-Khansa’. Diriwayatkan pernah beliau bertawaf dalam keadaan membotakkan kepalanya, meletakkan kasut Sakhr di lehernya hingga sampai perkara tersebut kepada Umar Al-Khattab. Lalu Umar menemuinya dan berlaku dialog antara keduanya. Antaranya Umar bertanya;

- Advertisement -

“Mengapa di kau begitu sedih meratapi kematian keduanya? Bukankah mereka mati dalam keadaan tidak Islam?”

Jawab Khunsa`;

“Itulah yang menambah kesedihanku.”

Lantas Umar mengarahkan kepada orang ramai supaya membiarkan sahaja perbuatannya kerana dia akan berkeadaan begitu (bersedih) sampai bila-bila.

Di antara peperangan yang besar berlaku pada zaman Saidina Umar Al-Khattab adalah peperangan melawan Parsi, iaitu Al-Qadisiah. Berlaku pada tahun 14 Hijrah, 4 tahun sebelum berlakunya wabak Thaun Amwas. Dalam peperangan inilah Al-Khansa’ menghantar keempat-empat anaknya. Kesemua mereka syahid dalam peperangan tersebut. Ketika sampai pengkhabaran tersebut padanya, beliau mengucapkan;

“Segala puji bagi Allah yang telah memuliakan daku dengan syahidnya anak-anakku. Daku berdoa agar Allah menghimpunkan daku bersama mereka di syurga kelak”.

Di antara ucapannya kepada anak-anaknya sebelum mereka ke medan Al-Qadisiah;

“Duhai anakku, kalian masuk Islam dan berhijrah dengan pilihan kalian. Demi Allah yang tidak ada tuhan selainNya, kalian adalah anak pada seorang lelaki, sebagaimana anak pada seorang wanita dan nasab ini tidak akan berubah. Kalian mengetahui bahawa Allah telah menyediakan pahala yang banyak pada umat Islam yang memerangi musuhnya. Dan ketahuilah bahawa kehidupan akhirat yang kekal itu lebih baik daripada kehidupan dunia yang fana….”

Beliau meninggal dunia pada awal pemerintahan Saidina Uthman, pada tahun 24 Hijrah.

Pengajaran:

(i) Jadilah insan yang memberi kesan yang baik kepada orang lain. Paling kurang seorang ibu dan ayah pada anaknya. Kebaikan itu nilainya adalah apabila ia diredhai oleh Allah, bukan semata-mata pujian manusia. Jika kita berpengaruh sekalipun, tetapi membawa manusia ke jalan yang salah, ia tetap bukan satu kebaikan.

(ii) Seniman atau seniwati adalah lapangan ‘influencer’ yang memberi kesan besar pada orang ramai selain agamawan. Tetapi jika kesannya sekadar untuk disukai orang ramai sahaja, maka itulah yang akan mengikat kita sampai bila-bila. Hidup hanya bergantung pada kehendak orang ramai. Ia nyata berbeza orang yang memiliki keperibadian seumpama Al-Khansa’.

Dan banyak lagi pengajaran yang boleh difikirkan.

Rujukan:

Islamstory Dr Raghib As Sarjani, Wikipedia, Republika

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 1/4/2020

- Advertisement -