Alam sekitar dari perspektif Pencipta

- Advertisement -

PENDAHULUAN

- Advertisement -

Langit, bumi, gunung-ganang adalah makhluk pertama ditawar oleh Allah untuk memikul amanah Khalifah Allah di muka bumi, namun semuanya menolak dan tidak sanggup memikul amanah tersebut. Ini menggambarkan betapa besarnya amanah sebagai Khalifah sehingga semuanya tidak sanggup memikulnya. Hanya kejahilan manusia yang sanggup menerimanya.

Firman Allah:

إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
(al-Ahzaab 33: 72)

Manusia yang menerima amanah ini, dengan dua sifat yang ada pada manusia iaitu zalim dan jahil. Zalim bukan hanya kepada makhluk yang lain, bahkan terkadang ia zalim pada dirinya sendiri.

Demikian juga sifat jahil, yang merangkumi pelbagai bidang. Lalu, Allah utuskan Rasul memandu manusia agar manusia hidup dengan sistem dan peraturan yang dipandu oleh Allah.

Keseimbangan dalam penciptaan alam

Alam dicipta dengan penuh kelestarian (sustainable). Hal ini dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran:

وَٱلسَّمَآءَ رَفَعَهَا وَوَضَعَ ٱلۡمِيزَانَ
“Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan.”
(Ar-Rahmaan 55: 7)

أَلَّا تَطۡغَوۡاْ فِي ٱلۡمِيزَانِ
“Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;”
(Ar-Rahmaan 55: 8)

وَأَقِيمُواْ ٱلۡوَزۡنَ بِٱلۡقِسۡطِ وَلَا تُخۡسِرُواْ ٱلۡمِيزَانَ
“Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.”
(Ar-Rahmaan 55: 9)

Ayat ini sangat menarik untuk dikaji dan diteliti. Allah yang menjadikan bumi dan langit asalnya satu gumpalan, lalu dipecahkan antara keduanya.

Maka, dalam pertimbangan antara kedua kejadian Allah, diletakkan dengan penuh neraca keadilan dan perimbangan ~ sama ada jarak antara langit dan bumi serta cakerawala yang lain, mahupun perimbangan antara setiap kejadian di muka bumi antara lautan dan daratan, atau perimbangan antara pokok kayu-kayan di dataran, di tepi laut dan sungai, serta perimbangan antara kedudukan sungai yang mengalir dari bukit ke lautan dan perimbangan antara semua elemen kejadian manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan ~ semuanya seimbang dengan sempurna.

Bahkan, pada setiap kejadian makhluk itu diletakkan perimbangan sehingga antara bulu mata kiri dan kanan, tangan, kaki dan seluruh anggota manusia. Perimbangan ini sangat penting bagi kestabilan manusia, alam dan udara seluruhnya.

Apa yang menarik bila Allah menjelaskan bahawa dalam kejadian tersebut, ianya dicipta dengan penuh ketelitian, tidak berlebih kurang atau sambil lewa.

Allah juga menggesa manusia agar memelihara perimbangan (mizan) tersebut, dengan tepat agar kelestariannya (sustainability) dapat dipelihara. Jangan dikurangi kerana ia akan merosakkan neraca keadilan, yang menjadi asas bagi kestabilan alam seluruhnya seperti yang tertera di surah ar-Rahmaan, ayat 9.

Cabaran utama yang dihadapi oleh manusia ialah bagaimana memelihara kelestarian alam (sustainability). Dua sifat utama manusia sebagaimana dinyatakan oleh Allah iaitu zalim dan jahil menjadi punca utama kerosakan alam yang didiami oleh manusia.

Sifat tamak haloba, kerakusan dan tindakan melampau mengubah kejadian alam ciptaan Allah dengan pelbagai cara, demi mengaut laba dan keuntungan, menurut hawa nafsu dan kerakusan membolot segala nikmat duniawi menjadi punca meluasnya kezaliman manusia kepada alam yang didiami.

Sebagaimana Firman Allah:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
(ar-Ruum 30: 41)

Jelas kerosakan berlaku samada di daratan dengan pelbagai kejadian seperti tanah runtuh, banjir, pencemaran air dan udara, kepanasan global, adalah akibat tangan-tangan manusia. Bahkan, Allah nyatakan kerosakan juga berlaku di lautan, dengan pelbagai unsur yang merosakkan keseimbangan alam ciptaan Allah.

Manusia mengubah asas muka bumi dengan menarah bukit, menutup sungai dan parit, menambak laut serta membuat pulau baru. Ia ibarat sebuah kereta yang diubahsuai oleh pemilik kerana merasai apa yang dibuat oleh kilang tidak menepati citarasanya. Perubahan yang dilihat cantik, menarik pada perkiraan manusia sebenarnya telah merosakkan perimbangan setiap bahagian pada kenderaan tersebut. Perubahan inilah sebenarnya membawa kerosakan pada kenderaan tersebut bila berlaku sesuatu yang kejadian di luar dari perhitungannya.

Tanggungjawab bersama

Fenomena kerosakan ini disedari oleh manusia sejak ratusan tahun dahulu, sehingga muncul pelbagai kajian, penelitian dan andaian bagi mengetahui sejauh mana kerosakan tersebut. Ribuan kajian dibuat untuk meneliti kerosakan pada sungai yang menjadi nadi kehidupan. Ribuan kajian terhadap udara, kepanasan global, rumah hijau dan pencemaran sungai. Tujuannya untuk menyatakan kepada dunia dalam bentuk data yang jelas agar manusia sedar dan dapat memulihkan kerosakan.

Di suatu pihak lain, kerosakan terus berjalan tanpa mempedulikan apa yang sedang berlaku . Fenomena ini mewajibkan kita kepada dua tindakan utama, iaitu meminimumkan kerosakan yang berlaku dan membaik pulih kerosakan tersebut.

Kini, berlakunya pertembungan antara kepentingan kehidupan manusia seperti keperluan makanan, industri, air dan lain di satu pihak, manakala di pihak lain mereka yang mendesak agar kelestarian alam sekitar dijaga dan dipelihara di atas pelbagai NGO

Manakala di pihak kerajaan, ia bertindak sebagai pengimbang dan penjaga dengan dua usaha berterusan iaitu mengawal kerosakan yang berlaku dengan penguatkuasaan undang-undang dan membina kesedaran generasi agar meminimumkan kerosakan yang tidak dapat dielak di atas kepentingan pembangunan negara dan keperluan rakyat.

Alam adalah makhluk Allah yang diamanahkan kepada manusia sebagai khalifah untuk memelihara dan menjaganya dengan sebaik mungkin. Lantaran itu, hubungan manusia dengan alam banyak bergantung sejauh mana kefahaman terhadap tanggungjawab tersebut.

Di sinilah keperluan pendidikan penjagaan alam sekitar perlu ditingkatkan agar ia benar-benar mampu melahirkan generasi yang kesedaran tinggi terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Pendemik COVID-19 yang sedang menular di seluruh dunia telah mendorong banyak pihak membuat kajian dari segala aspek. Penelitian data terhadap pencemaran udara, air, dan gas rumah hijau yang menurun secara mendadak sewaktu lockdown berlaku di peringkat dunia kerana pendemik COVID-19 membuktikan bagaimana alam telah diseksa manusia pada hari-hari biasa. Meskipun pahit bagi manusia, tetapi hakikatnya di dalam lockdown ini, alam bagai sedang menerima terapi baru dengan apa yang sedang berlaku.

Kita akui tidak mungkin kita boleh laksanakan lockdown sebegini hebat kalau tidak berlaku wabak ini di mana jutaan kilang industri di dunia terpaksa menghentikan operasi, jutaan kenderaan tidak lagi berada di jalan raya dan pergerakan manusia yang hampir sepenuhnya terhenti.

Apa yang sedang berlaku kini perlu disusuli dengan suatu kaedah bagi mengekalkan keceriaan dan kelestarian alam.

Pendemik COVID-19 mendidik manusia agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan sumber kehidupan mereka khususnya air dan udara. Undang-undang cumalah satu alat, tapi ia bukanlah penyelesaian jangka panjang. Dan undang-undang juga bukanlah satu-satunya jalan sahaja. Solusi sebenar ialah melalui peningkatan kesedaran rakyat, khususnya generasi muda kita agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Apakah kita sanggup berhadapan dengan bencana yang lebih besar nanti. Semoga Allah menyelamatkan kita di dunia dan akhirat. Rahmat Allah ada di mana-mana, carilah ia menerusi pintu-pintu kebaikan.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Menteri Alam Sekitar dan Air – HARAKAHDAILY 1/4/2020

- Advertisement -