COVID-19 : Autokrasi, demokrasi dan Islam

- Advertisement -

REALITI hari ini

(1) Sebelum ini saya ada menulis mengenai COVID-19 yang bakal menyerang teruk negara-negara Barat, khususnya apabila melihat statistik daripada Itali sejak pertengahan Mac.

Namun, artikel tersebut tak dapat diposting kerana handphone rosak, dan artikel tersebut lenyap bersama kerosakan handphone. Hari ini 31 Mac menampakkan segala-galanya.

Sepertimana yang dijangka, memang negara-negara Barat mengalami krisis yang lebih teruk mengalahkan China. Khususnya Itali dan Amerika.

- Advertisement -

(2) Korea Selatan dilihat berjaya mengawal COVID-19 dengan menggunakan teknologi 5G, Big Data, Surveillance dan sewaktu dengannya. Segalanya pasti ‘mengacau’ privasi rakyatnya. [1]

China pun menggunakan kaedah sedemikian, sehingga mampu mengawal COVID-19. Amalan pemerintahan autokrasi memang tidak ada masalah dengan istilah privasi.

Kerajaan berhak untuk menerobos privasi rakyatnya. Berbeza dengan cara demokrasi yang menggunakan dasar kebebasan yang diamalkan di Barat.

(3) Rata-rata Barat takut untuk mengganggu hak privasi rakyatnya sehingga mereka tidak berani untuk mengorek data individu yang dijangkiti COVID-19.

Hal ini boleh rujuk artikel saya sebelum ini tentang strategi kawalan COVID-19 yang diamalkan oleh Korea Selatan [1]. Pergerakan dan informasi rakyatnya, semuanya telah dikomputerkan.

Autokrasi dan demokrasi

(1) Dua sistem pemerintahan ini menyebabkan China dan negara-negara autokrasi berjaya mengekang penularan wabak tersebut. Berbeza dengan negara-negara Barat.

Kalau dari segi sejarahnya, Amerika dilihat berjaya meranapkan Soviet pada 1991 selepas mempromosikan Sistem Demokrasi secara besar-besaran bermula 1983.

Penubuhan badan-badan seperti CIPE, USAID, NDE, dan sebagainya bertujuan mempromosikan sistem itu. Apatah lagi Soviet yang sangat kuat autokrasinya.

(2) Pendekatan Soviet ketika itu dilihat tertutup, kolot, tidak berdaya maju, dan sewaktu dengannya. Sistem itu juga dianggap mengongkong kebebasan.

Namun, hari ini dalam menangani COVID-19, sistem autokrasi dilihat lebih berkesan, berbanding demokrasi. Boleh layari sendiri bentuk-bentuk penguatkuasaan undang-undangnya.

Bahasa mudahnya, siapa degil dengan arahan kerajaan, terus kena tembak. Paling kurang kena belasah di tempat-tempat awam. Menjadikan pemerintahan kuku besi kadang-kadang ada manfaatnya.

(3) Manakala demokrasi pula sangat sensitif dengan hak kebebasan rakyat, hak privasi dan macam-macam lagi yang diperjuangkan. Akhirnya menjerat mereka semula.

Walau bagaimanapun, saya tidaklah menyatakan bahawa autokrasi itu sistem yang betul. Ia mungkin bagus dalam situasi hari ini sahaja, tetapi dalam situasi lain ia sangat sengal.

Pemerintahan Islam

(1) Islam menggunakan sistem pemerintahan yang tersendiri. Demokrasi walaupun dicipta oleh Barat, tetapi masih ada ruang untuk Islam itu bertapak dan terbina.

Bahkan demokrasi juga merupakan jalan untuk menegakkan Islam secara syarie, sedikit demi sedikit. Bagaimana sistem politik Islam boleh kaji mengenai Khilafah Islamiah.

Sistem ini meletakkan pemerintahan tertinggi bukanlah individu atau suara rakyat, akan tetapi al-Quran dan Hadis. Mana-mana pemerintah yang melanggar kedua-duanya berhak dihukum.

(2) Justeru pada zaman Saidina Umar R.A ketika tersebarnya wabak Ta’un Amwas, Saidina Umar dibacakan Hadis Nabi S.A.W mengenai sistem kuarantin;

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا

“Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut janganlah kamu keluar dari situ.”

(Riwayat al-Bukhari)

(3) Wabak Taun Amwas yang mengorbankan 25,000 orang itu menjadi catatan sejarah, yang dimasukkan oleh sebahagian Ulamak sebagai salah satu tanda kiamat.

Justeru, jangan terlalu terikat dengan dua blok sahaja iaitu demokrasi atau autokrasi. Di sana ada blok ketiga yang disediakan oleh Islam, dan pernah terjadi dalam sejarah Islam.

Itali dan Amerika

(1) Kita ambil pedoman daripada Itali, antara ranking tertinggi kes COVID-19. Perdana Menteri yang baru, sejak Jun 2018. Kemudian pada September 2019 buat rombakan Kabinet baru.

Kabinet baru, yang baru sahaja angkat sumpah itu, cuba menampakkan bahawa mereka itu bersifat demokrasi, dan sangat-sangat menjaga hati rakyatnya.

(2) Di awal penularan COVID-19 mereka takut-takut untuk menggunakan ketegasan, bimbang akan merosakkan imej kerajaan yang baru naik itu. Namun, akhirnya makan diri.

Iaitu apabila wabak itu gagal dikekang disebabkan dasar kerajaan yang mengamalkan super demokrasi. Tak berani nak buat tindakan tegas terhadap rakyatnya.

Apatah lagi nak ceroboh hak privasi mereka dengan sistem teknologi canggih yang sedia ada. Itu lagi tak berani. Ini menyebabkan angka kematian mereka semakin meningkat.

(3) Hal yang sama terjadi pada Amerika, yang bakal mengadakan pilihan raya di penghujung tahun ini. Maka, mesti menjaga sama pengaruh mereka. Bimbang terlajak tegas.

Apabila terlajak tegas, nanti bakal kalah dalam pilihan raya. Itulah sifirnya bagi negara-negara demokrasi yang selama ini terlalu mengikut sangat teori kuasa rakyat.

Mengikut demokrasi, rakyat itu berkuasa. Namun, apabila pemerintah itu sudah menang dalam pilihan raya, mereka terus merasakan diri itu berkuasa penuh.

Mencari jalan

(1) Walau bagaimanapun, antara demokrasi dan autokrasi kedua-duanya bukanlah penyelesaian masalah umat. Sejarah telah pun menceritakannya.

Demokrasi biasanya agak sinonim dengan Kapitalism dan Liberalism. Manakala autokrasi agak sinonim dengan Sosialism dan Komunism. Boleh kaji blok Amerika vs Soviet.

(2) Dalam kedua-dua sistem ini, Islam mempunyai ruang dan jalan untuk membina konsep Khilafah Islamiah. Sebab itulah banyak parti-parti politik menjadikan kepartian itu sebagai wasilah.

Apatah lagi setelah jatuhnya Uthmaniah pada 1924. Dakwah merupakan agenda penting dalam memperbaiki kedua-dua sistem ini, supaya menghala ke arah sistem Islam.

(3) Dalam menangani COVID-19 ini, pemerintahan Islam meletakkan al-Quran dan Hadis sebagai rujukan utama, begitu juga Ijmak dan Qias. Contoh sepertimana yang saya nyatakan tadi.

Contoh yang lain, dalam Islam membuka ruang pendakwaan yang lebih telus terhadap pemerintah yang salah guna kuasa. Sesiapa sahaja berhak mendakwa asalkan ada bukti

(4) Autokrasi rasanya agak sukar untuk terbuka seperti itu. Kalau Korea Utara, semuanya kena ikut Kim Jong Un. Tak seperti Amerika. Trump mungkin dijatuhkan.

Amerika walaupun mendakwa mereka itu bapa demokrasi, namun mereka menjuarai isu-isu ‘kacau negara orang’. Boleh baca artikel saya sebelum ini. [2]

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3562400500468351/?app=fbl

[2] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3392245647483838/?app=fbl

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 31/3/2020

- Advertisement -