Lantik tokoh wibawa ketuai SPRM

- Advertisement -

KOTA BHARU: Peletakan jawatan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dianggap tindakan yang betul.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang Dan Hak Asasi (LUHAM) PAS Kelantan, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, pelantikan Latheefa tersebut bersifat lantikan politik, sewajarnya secara terhormat berundur berikutan berlaku peralihan kuasa.

Malah katanya, beberapa tindakannya sebelum ini seperti pendedahan audio rakaman telefon membabitkan bekas perdana menteri bercanggah dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Peletakan jawatan itu memberi peluang kepada kerajaan baru mengembalikan semula kepada mereka yang berwibawa dan layak mengetuai SPRM,” katanya di sini.

- Advertisement -

Isnin lalu, Latheefa telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Jun tahun lalu, bagi tempoh kontrak selama dua tahun menggantikan Dato’ Seri Mohd Shukri Abdull.

Pelantikan Latheefa sebelum ini bagaimanapun mengundang kritikan ramai, antara lain dikatakan bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) mengenai lantikan politik dan menjejaskan fungsi SPRM sebagai badan bebas. – HARAKAHDAILY 9/3/2020

- Advertisement -