Muafakat Nasional-BERSATU umum kerajaan baharu Perak

- Advertisement -

IPOH: Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan Kerajaan Negeri Perak hari ini akan bersama-sama PAS dan Umno di dalam gabungan baharu Muafakat Nasional-BERSATU dengan jumlah majoriti 32 kerusi ADUN.

- Advertisement -

“Dengan jumlah 25 ADUN Umno, tiga PAS dan empat BERSATU, gabungan ini akan dapat menubuhkan kerajaan baru dengan kedudukan yang penuh stabil dan mampu menjalin kerjasama erat untuk meneruskan agenda pembangunan dan membela rakyat negeri Perak,” katanya.

Kesempatan itu, Ahmad Faizal turut merakamkan setinggi penghargaan kepada EXCO dan ADUN Pakatan Harapan kerana telah memberi kerjasama yang baik sebelum ini di dalam Kerajaan Negeri Perak dipandu olehnya.

Mengulas persoalan mengenai penyertaan BERSATU dalam gabungan baharu ini, beliau akui ia merupakan rentetan daripada keputusan di peringkat Pusat yang mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan.

Ulasnya lanjut, Kerajaan Perak sebelum ini tidak memberi kestabilan pada negeri, malah turut menafikan tindakan beliau mengumumkan keluar daripada PH bukan sebagai pengkhianat bagi kerajaan negeri itu.

Malah katanya, pengkhianat sebenar adalah bermula daripada detik EXCO Negeri Perak yang selama ini telah menduduki kerajaan negeri, namun masih sibuk dengan usaha menjatuhkan beliau selaku Menteri Besar.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria pula menegaskan, kerajaan yang bakal dibentuk adalah atas persetujuan Tuanku Sultan dan beliau akan menjunjung perintah mengenai sesiapa sahaja yang akan diperkenankan pihak Istana sebagai Menteri Besar. – HARAKAHDAILY 9/3/2020

- Advertisement -