Siapa dalam kabinet Muhyiddin?

- Advertisement -

DEBARAN makin memuncak apabila petang ini barisan Kabinet baharu bakal diumumkan, malah inilah yang dinantikan oleh rakyat Malaysia khasnya.

- Advertisement -

Ia perhatian yang sejak seminggu lalu ditunggu-tunggu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, sekali gus menafikan cita-cita bekas bakal PM kelapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Di kem PH, mereka kini sedang menyerang segenap penjuru bagi memburuk-burukkan kerajaan pimpinan Muhyiddin dengan propaganda ‘kerajaan pintu belakang’. Malah ditambah dengan suara asing yang mula membantu mereka. Lihat sahaja akhbar _The Guardian_, secara biadab melabel kerajaan yang dibina ini sebagai _‘royal coup’_.

Namun, rata-rata rakyat yang celik dan sedar akan permainan tersebut tidak termakan propaganda murahan sebegini, apatah lagi jika dikaitkan dengan Istana, maka rakyat akan marah dengan keceluparan itu.

Ramai netizen mahu melihat Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang diletakkan dalam Kabinet di posisi paling layak. Namun, dalam masa yang sama Tuan Guru Abdul Hadi sendiri telah lebih awal mengeluarkan kenyataan beliau lebih suka jika tidak dicalonkan.

Malah memberi ‘guide line’ kepada PM agar memilih Kabinet berdasarkan kepada integriti, kaliber dan mengambil kira soal kemajmukan Malaysia, Sabah dan Sarawak juga.

Inilah jiwa besar Tuan Guru Abdul Hadi, malah jika PH khasnya Saifuddin Nasution Ismail mahu menuduh Tuan Guru dengan pelbagai kata, pelabelan itu kini tidak berjaya, malah terjawab dengan kenyataan Tuan Guru ini.

Mungkin semasa Saifuddin bersama dengan PAS dia tidak ta’aruf betul-betul batang tubuh yang dia hentam ini, gagal mengenal atau sememangnya dia lebih suka menghentam Tuan Guru Abdul Hadi secara semberono.

Lihat pula nama Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan, walaupun beliau bukan Ahli Parlimen, tetapi secara jujurnya Timbalan Presiden Umno ini dikatakan amat digemari rakyat kerana kredibiliti beliau, khasnya memacu Umno semasa Dato’ Seri Zahid Hamidi bercuti.

Malah beliau juga (jika dilantik Senator) maka pengalaman mentadbir Negeri Sembilan tanpa isu dibawahnya sebelum ini, dikatakan menjadi antara sebab rakyat mahukan orang sebegini. Apapun, beliau tidak langsung mahu dirinya dimasukkan dalam Kabinet dan berkempen ke arahnya.

Sementara Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Dato’ Sri Mustapha Mohamed, Dato’ Takiyuddin Hassan, Dato’ Seri Fadhlillah Yusof, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Dato’ Noraini Ahmad juga disebut-sebut bakal menghiasi Kabinet.

Mungkin satu pembaharuan bakal dilihat kali ini dengan bukan kalangan orang politik dijangka akan dilantik selepas ini untuk mengisi jawatan tertentu bagi memacu pentadbiran Negara ke arah lebih berdaya saing, kompeten, wibawa dan integriti. Ini sekali gus akan menafikan dakwaan PH yang kini meroyan angkara hilang jawatan dek kerana perebutan kuasa sesama sendiri.

Apakah ada kemungkinan tokoh-tokoh dalam BERSATU yang kini bersama kem Dato’ Seri Muhriz Mahathir akan menyeberang ke sini, atau beberapa watak dalam WARISAN, PKR atau PAN sendiri bakal ‘kecur liur’ untuk ke sini?

Rakyat mahukan mereka yang konsisten dalam mendefinisi dan mengamalkan integriti bagi melahirkan sebuah Negara yang jauh lebih maju, makmur dan damai.

Sama-sama kita nantikan pengumuman PM jam 5 petang ini.

WAN NORDIN WAN YAACOB – HARAKAHDAILY 9/3/2020

- Advertisement -