CPU PAS-Umno Hulu Langat seru ‘Selamatkan Malaysia’

    - Advertisement -

    HULU LANGAT: PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Hulu Langat telah menganjurkan Ceramah Perpaduan Ummah (CPU) membawa tema “Selamatkan Malaysia” di D’Rinching, Kampung Rinching Hilir, Semenyih, di sini semalam.

    - Advertisement -

    Program yang menjadi platform muafakat antara kedua-dua parti politik Melayu Islam ini bertujuan menjelaskan kepada masyarakat umum berkaitan isu politik semasa tanah air sejak di bawah pentadbiran Kerajaan PH.

    Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Md Alwi Che Ahmad selaku penceramah jemputan menegaskan, Umno dan PAS perlu seiring dalam gerakan politik masa kini menerusi Muafakat Nasional untuk meraih penerimaan rakyat menjelang PRU15.

    Manakala Setiausaha PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Dato’ Mohd Shahir atau dikenali sebagai Roslan SMS mengupas tekanan negara yang terkini di mana idealogi Komunisme cuba dirasionalisasikan pemimpin PH.

    Sedangkan bidasnya, sejarah membuktikan pengganas Komunis merupakan musuh negara dan bukannya pejuang kemerdekaan sebagaimana cuba diangkat dan diiktiraf pihak tertentu di dalam gabungan PH.

    Terdahulu, mengalukan majlis tersebut Yang DiPertua PAS Hulu Langat, Mohamad Jan Sulong dan Ketua Umno Hulu Langat, Dato’ Johan Abdul Aziz telah mengajak semua masyarakat bersama PAS dan Umno.

    Mohamad Jan mengingatkan pengajaran hubungan kedua pihak selama ini yang bermusuhan tidak memberi kebaikan kepada kedua-dua parti dan semua pihak, sebaliknya wajib bersaudara atas dasar Islam.

    Mereka juga mempelawa orang ramai untuk bersama dalam CPU Siri Ketiga yang bakal diadakan pula di Taman Kantan Permai nanti. – HARAKAHDAILY 21/12/2019

    - Advertisement -