Semangat Opah Saharah inspirasi pejuang Islam

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Kemanisan perjuangan terletak kepada kefahaman yang dipasak serta jalinan ukhuwah sesama anggota hingga menjayakan agenda perjuangan didukungi.

- Advertisement -

Hal itulah yang dilihat membugar pada diri Saharah Mat Noor, 72 yang telah menjadi ahli PAS lebih dua dekad lalu dan terus istiqamah hingga kini hadir ke program parti.

Kisah beliau menghadirkan diri dengan menaiki bas pada kedua-dua hari Sambutan Ulang Tahun PAS Kali Ke-68 di Markas PAS Gunung Semanggol dari rumahnya mengujakan ramai orang.

Lebih tidak disangkanya dan menjadi rezeki buatnya apabila beliau menerima hadiah cabutan bertuah sebuah kipas meja selepas sesi bersama Pengarah Urusan HPA, Ismail Ahmad.

Menurut Naib Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Husna Saidon, beliau mengenali susuk tubuh insan tersebut dan amat mengagumi istiqamahnya dalam perjuangan.

“Generasi baharu hari ini wajar meneladani sikap dan sifat Opah Saharah yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam kerjanya,” jelas beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Kawasan Padang Rengas.

Opah Saharah sebelum ini pernah menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Padang Rengas sebelum berpindah kembali ke kampung asalnya di Sungai Pinang, Selinsing.

Suami Opah Saharah yang tinggal bersamanya juga seorang penggerak PAS yang aktif sebelum diserang sakit strok. – HARAKAHDAILY 26/11/2019

- Advertisement -