Pahang berusaha kurang ketirisan

    - Advertisement -

    KUANTAN: Kerajaan Pahang berusaha mengurangkan ketirisan dengan menubuh beberapa unit khas di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri.

    - Advertisement -

    Menteri Besar Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, unit terbabit iaitu Unit Kutipan Balik Hasil, Unit Petugas Khas Hasil dan Unit Tender Khas.

    Katanya, usaha itu dilakukan bagi meningkat jumlah hasil pada tahun hadapan.

    “Kerajaan negeri juga menerima hasil pengeluaran pasir melalui Lesen Pendudukan Sementara Bercantum sebanyak RM4 juta pada bulan pertama penubuhan Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPPB).

    “Pengeluaran pasir dijangka menyumbang hasil RM26 juta tahun depan,” katanya ketika membentang anggaran Belanjawan Pahang 2020 pada persidangan Dun semalam.

    Menurutnya juga penubuhan Daerah Kecil Gebeng seluas 20,297 hektar dan Daerah Kecil Genting seluas 6,668 hektar akan menambah pendapatan kerajaan negeri melalui perubahan semakan pindaan kadar cukai tanah.

    Kata beliau pada 2020 dianggar Daerah Kecil Gebeng akan menyumbang hasil sebanyak RM200 juta setahun, manakala Daerah Kecil Genting memberi sumbangan hasil RM2 juta.

    Wan Rosdy juga berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM9.23 juta bagi memartabatkan industri pertanian, selain merancang 414 kursus dan latihan untuk 8,280 petani pada tahun hadapan.

    Selain itu meneruskan pembangunan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) negeri.

    Kata beliau juga kerajaan negeri akan membentangkan kertas penubuhan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) bagi merancang pembangunan di daerah tersebut dengan mengekalkan kelestarian.

    “Pahang akan meneruskan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedia ada dengan memperuntukkan sebanyak RM7 juta tahun depan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/11/2019

    - Advertisement -