Tindakan SPR menyusahkan – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Blok pembangkang kecewa dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan peraturan kempen baharu yang menyusahkan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan peraturan baharu yang dibuat bertujuan menyekat pergerakan agen parti politik yang bertanding.

Katanya, peraturan itu juga bercanggah dengan akta Pilihan Raya 1954 dan akta Kesalahan Pilihan Raya 1958.

“Seksyen 16 akta Pilihan Raya 1958 yang mana dalam seksyen ini memerlukan kelulusan Yang Di-Pertuan Agong sebelum membuat sebarang peraturan bagi perjalanan pilihan raya.

“Manakala, Seksyen 17 pula mewajibkan peraturan baharu perlu dibawa di Dewan Rakyat terlebih dahalu sebelum berkuatkuasa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Azhar Azizan Harun telah mengeluarkan arahan bahawa kempen yang dibuat dari rumah ke rumah, perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen.

Selain itu, program tinjauan mesra (walkabout) yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, tindakan SPR tersebut seolah-olah institusi itu tidak bebas dan menjadi alat kepada kerajaan yang memerintah.

Katanya, dahulu permit untuk berkempen dibuat hanya sekali sahaja bagi keseluruhan kawasan untuk berkempen, namun berbeza sekarang setiap ceramah hanya satu permit, sangat menyusahkan.

Berikutan daripada itu, beliau berkata bahawa pihaknya telah pun menghantar usul yang berkaitan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat esok (14 Nov), di samping akan membawa kes ini ke mahkamah untuk mencabar tindakan yang dilakukan oleh SPR itu.

Ismail berkata pihaknya percaya tindakan SPR itu dilakukan kerana besar kemungkinan Pakatan Harapan (PH) akan kalah di PRK Tanjung Piai, maka diperkenalkan peraturan tersebut untuk membantu kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, SPR sepatutnya mengikut peraturan sedia ada dan tidak boleh membuat peraturan sesuka hati.

“SPR terikat dengan peraturan sedia ada, tidak boleh membuat peraturan sesuka hati, PIT (peraturan ikut terlintas) mesti bawa ke parlimen melalui kebenaran Yang Di-Pertuan Agong.

“Kita minta SPR memastikan peraturan sedia ada dijaga pemberian duit, pemberian peruntukan, pengisytiharan projek, guna jentera kerajaan. Ini sepatutnya SPR memberi perhatian,” katanya.

Beliau meminta supaya SPR menarik balik peraturan tersebut dengan serta merta kerana bercanggah dengan akta Pilihan Raya sedia ada. – HARAKAHDAILY 13/11/2019

- Advertisement -