Mengapa peruntukan bekalan air Kelantan berkurang?

    - Advertisement -

    KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man meminta pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk menyegerakan pembinaan empangan air bagi menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di negeri Kelantan.

    - Advertisement -

    Katanya, mengikut kajian yang dilakukan, pembinaan empangan air khususnya di Sungai Lebir boleh menyelesaikan hampir separuh daripada permasalah banjir yang berlaku di negeri itu.

    Berikutan daripada itu, beliau menggesa kementerian mengambil tindakan secara serius masalah banjir yang berlaku di Kelantan.

    Beliau berkata sedemikian dalam perbahasan pertimbangan semula ke atas Rang Undang-undang Perbekalan 2020 dan Usul Anggaran Perbelanjaan 2020 diperingkat Jawatankuasa Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di Dewan Rakyat, hari ini.

    Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Presiden PAS, meminta kerajaan menjelaskan tindakan pengurangan peruntukan rancangan bekalan air negeri Kelantan yang hanya diperuntukkan sebanyak RM1 juta pada tahun 2020 berbanding sebanyak RM8.7 juta pada 2019.

    “Ini satu pengurangan yang sangat besar sedangkan isu masalah air di Kelantan sering ditimbulkan.

    “Oleh itu, perlu dilihat kembali tentang bajet ini supaya mekanisme dapat dicari untuk diberi keutamaan kepada negeri yang berdepan dengan isu air,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan mekanisme yang telah dirangka pihak kerajaan bagi memberi ganti rugi kepada negeri-negeri yang tidak dapat mengeluarkan hasil hutan oleh kerana telah diwartakan sebagai rizab Taman Negara.

    “Antara negeri yang mempunyai banyak rizab Taman Negera seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu menyebabkan banyak sumber pendapatan negeri tersebut hilang kerana rizab taman negara ini.

    “Persoalannya, apa mekanisme kerajaan pusat untuk mengganti kepada negeri yang tidak boleh mengeluarkan hasil hutan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/11/2019

    - Advertisement -