Sarawak ke arah negeri berkebajikan

Beri bonus 2 bulan gaji

- Advertisement -

PAS merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan tahniah kepada semua penjawat awam Sarawak yang akan menerima bonus dua (2) bulan gaji pokok atau minimum RM2,000. Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini pada sesi penggulungan dalam sidang Dun Sarawak pada hari ini tadi.

- Advertisement -

Cuma terasa bersimpati kepada penjawat awam Kerajaan Persekutuan yang tidak menerima manfaat setanding dalam pengumuman Bajet 2020 Kerajaan PH biarpun mereka telah bersungguh bekerja di negeri ini. Namun ia terpulang kepada Kerajaan PH yang melayan mereka sedemikian rupa.

Bayaran bonus yang akan diberikan kepada kakitangan awam Negeri Sarawak sebelum hujung tahun ini dilihat sangat memberansangkan kerana ia juga merupakan indikator kepada asas komitmen kerajaan berkebajikan apabila menghargai golongan tersebut kerana banyak membantu gerak kerja Kerajaan Negeri.

Selain itu ia akan menjadi pemangkin kepada inisiatif membangkit semangat, kesungguhan serta kesetiaan kakitangan tersebut kepada objektif dan matlamat sesebuah pentadbiran iaitu memberi perkhidmatan kepada rakyat.

PAS berharap dengan peruntukan lain yang membantu rakyat negeri ini akan memberi mesej jelas bahawa Kerajaan Sarawak bersungguh-sungguh membantu dan ingin memastikan rakyat negeri ini menikmati bersama kemakmurannya. Sumber negeri yang banyak perlu dipertahankan dan dinikmati oleh rakyat.

PAS juga melihat GPS sudah sedar perlunya kebajikan rakyat dijaga. Diharap kesungguhan ini bukan semata-mata untuk menang pilihan raya nanti tetapi ia menjadi ‘one step ahead‘ ke arah negeri berkebajikan. PAS juga telah mengemukakan Wawasan Induk Negara Sejahtera dan Dokumen Hijau yang boleh diadaptasikan sesuai dengan kedudukan Kerajaan Negeri sekarang.

Tiada apa yang boleh diharap dari PH Sarawak kerana mereka fokus untuk menjadi batu loncatan yang membantu untuk mengukuhkan kedudukan ‘boss’ mereka di Malaya. PAS konsisten akan terus memberi cadangan dan penambahbaikan kepada Kerajaan Sarawak demi memastikan rakyat negeri ini berada dalam kesejahteraan. Oleh itu PAS Sarawak dalam Pemukiman PAS Borneo telah memutuskan akan menyokong usaha mempertahankan hak Sarawak dan mengembalikannya melalui sokongan kepada usaha Kerajaan Negeri.

ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 13/11/2019

- Advertisement -