‘Soalan saya tadi apa komen menteri’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi hari ini meminta Menteri Pendidikan menyatakan tindakan tegas yang diambil terhadap penganjur Debat Piala Tun Razak 2019 yang dianggap menyentuh sensitiviti Islam.

- Advertisement -

Katanya, di dalam Dewan Rakyat ketika sesi pertanyaan jawab lisan bahawa debat tersebut telah bertindak melampau dengan menyentuh hal ehwal syariah hukum Islam yang sudah termaktub di dalam Al-Quran.

Namun, menjawab soalan tersebut, Menteri Pendidikan Malaysia Dr Mazlee Malik berkata kementerian itu memandang serius terhadap insiden dan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi meneliti perkara itu dan mendapati pemilihan tajuk debat boleh menyentuh sensitiviti agama.

Berikutan daripada itu, pihak KPM menyatakan akan memperkemaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi semua penganjur dan pertandingan agar perkara seumpama itu tidak berulang di masa hadapan.

Meskipun begitu, Che Abdullah berkata, penjelasan menteri tersebut sangat mendukacita dan seolah-olah membenarkan tanggapan masyuarat umum bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) pejuang kepada liberalisasi.

Hal ini, katanya kerana tiada tindakan tegas dikenakan kepada pihak penganjur berikutan debat tersebut didakwa telah menghina agama khususnya Islam.

“Saya meneliti kenyataan maaf daripada penganjur debat, namun tidak ada langsung kenyataan kesal.

“Sebaliknya mereka menggunakan sepenuhnya ruang untuk menjustifikasikan tindakan mereka itu sebagai tindakan tidak salah.

“Apakah yang menyebabkan keberanian mereka in, saya meyakini tentunya mereka tidak akan seberani ini sekiranya mereka tidak disokong dan dinaungi pihak tertentu khususnya pihak yang mentadbir kerajaan hari ini?” soalnya.

Bagaimanapun, Mazlee meminta Che Abdullah untuk menarik balik kenyataan itu kerana dianggap sebagai satu tuduhan dan fitnah kepada kementerian itu serta kerajaan PH.

Namun, Che Abdullah bangkit menjelaskan beliau tidak perlu untuk menarik balik kerana hanya meminta menteri beri komen.

“Soalan saya tadi apa komen menteri dan saya tidak membuat sebarang tohmahan.

“Saya sebut seolah-olah dan itu tanggapan umum bukan kenyataan saya,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 22/10/2019

- Advertisement -