Kerajaan dilihat tidak yakin bajet dibaca Guan Eng

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen (BN) Padang Terap menyalahkan Ahli Parlimen Bagan antara punca pasaran saham jatuh semakin teruk selepas pembentangan Bajet 2020 pada Jumaat (11 Oktober) lepas.

- Advertisement -

Sebagai pembahas kedua hari ini yang membahaskan tentang Bajet 2020 , Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata kerajaan juga dilihat tidak yakin dengan Bajet 2020 yang dibacakan oleh Lim Guan Eng.

“Dalam bajet yang dibentangkan pada hari Jumaat, sepatutnya pada hari Jumaat itu bila bajet bentang, pasaran saham semakin naik, tapi pasaran saham tak semakin naik, hari ini hari Selasa, pasaran saham -2.40.

“Hari-hari pasaran saham turun sebab tidak ada konfiden kerajaan.

“Kerajaan tidak ada konfiden kepada apa yang telah dibuat oleh Kementerian Kewangan. Yang kedua, tidak ada konfiden sebab ada persaingan berebut jawatan Perdana Menteri. Tak boleh!” ucapnya dalam perbahasan hari ini.

Ucap Mahdzir lagi, selain itu antara punca dewan rakyat lengang sejak kebelakangan ini kerana wujudnya perselisihan antara sesama komponen parti kerajaan.

Suasana di dalam dewan menjadi kecoh apabila Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji bangkit mencelah diikuti Ahli Parlimen Kinabatangan, Dato’ Sri Bung Moktar Radin.

Beberapa lagi ahli parlimen pembangkang dan kerajaan mencelah sehingga mengganggu perbahasan Mahdzir.

“Apa kena mengena dengan Umno? Umno sibuk pasal apa?” soal Rayer.

“Umno yang akan melancarkan menjatuhkan kerajaan. Takkan pembangkang nak naikkan kerajaan, ini demokrasi dalam negara,” kata Bung.

Rayer kemudian membalas kata-kata ahli parlimen pembangkang dengan mendakwa bahawa hari ini terbukti Umno merancang melagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“DAP parti komunis!” jerit salah seorang ahli parlimen pembangkang.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Rashid Hasnon mengarahkan semua ahli parlimen duduk dan meminta Mahdzir meneruskan perbahasan.

Mahdzir meneruskan perbahasan dengan menyimpulkan bahawa jika keadaan ekonomi hari ini tidak semakin pulih rakyat akan semakin sengsara.

“Ada satu fenomena di negara Jepun, yang dikenali sebagai kudo ghuci, fenomena kematian tanpa pengetahuan saudara mara ini kerana ekonomi tidak baik, hutang negara daripada rendah jadi tinggi.

“Eksport tak banyak dan akhirnya gaji semakin mengecil, tak boleh kahwin, umur dah tua masih duduk di rumah sewa tak boleh beli rumah dan akhirnya orang ini mati.

“Lebih teruk lagi kalau ekonomi negara macam diuruskan oleh Pakatan Harapan (PH) sekarang, boleh membawa kepada fenomena kudos guchi dan ia boleh terjadi kepada anak muda di bandar metropolitan,” katanya.

Rayer bagaimanapun menyalahkan Umno yang menjadi pemerintah selama 62 tahun sebagai punca jika berlakunya fenomena kudo guchi.

“Umno perintah apa? Kerajaan hari ini nyatakan pertambahan hutang ratus bilion lebih satu tahun,” bidas Mahdzir.

“Itu kena tanya Pekan (Najib Razak) dia yang perintah negara ini, rasuah …” kata Rayer yang enggan mengalah. Dewan menjadi kecoh semula.

Speaker bagaimanapun mengawal keadaan dewan dan meminta Mahdzir menamatkan ucapannya.

“Kesimpulannya Dato Yang Dipertua, apa yang saya nak sebutkan bahawa bajet yang dibentangkan oleh Bagan daripada DAP adalah bajet yang boleh membawa kepada kudos guchi.

“Akhir sekali, Dato Yang Dipertua, saya yang berada di dewan ini saya tengok kelakuan yang paling teruk sekali ialah kelakuan yang dibawa oleh Jelutong dalam dewan ini,” ucap Mahdzir menamatkan ucapannya. – HARAKAHDAILY 22/10/2019

- Advertisement -