Komodifikasi agama: Cara untuk raih untung

- Advertisement -

KOMODITI agama dan kapitalism

Komoditi agama bermaksud menjadikan agama sebagai objek untuk mengaut keuntungan. Biasanya disebut dengan ‘komodifikasi agama’, yang bermaksud proses menjadikan agama sebagai barang jualan. Secara peribadi, kita perlu memberi perhatian terhadap hal ini kerana berkaitan dengan ‘berkat’ sekalipun hukum zahirnya adalah harus.

Secara kasarnya konsep ini adalah proses menjual apa yang boleh dijual bukan menjual apa yang perlu dijual. Atau dengan mudah faham, apa sahaja yang ada nilai komersial, akan diolah hingga boleh menghasilkan  keuntungan, sekalipun terpaksa menggunakan atas nama agama. Bahasa mudah yang digunapakai ialah ‘menunggang agama’ untuk kaut untung.

Komoditi agama terdapat unsur-unsur kapitalis apabila ia mempunyai unsur penukaran. ‘Capital’ secara kasarnya bermaksud modal, dan ekonomi cara kapitalis adalah berbentuk tukaran. Sebelum zaman jual beli dengan duit, mereka memperkenalkan konsep tukar barang. Seterusnya berubah kepada tukaran barang dengan wang. Secara zahir takrif ini tidaklah dilihat bercanggah dengan Islam.

Istilah Kapitalisme ini pernah digunakan oleh Karl Marx. Tetapi konsepnya berbeza dengan sistem kapitalism Adam Smith yang ditentang sendiri oleh Karl Marx. Manakala Komoditi Agama yang kita bincangkan ini ialah menjadikan agama sebagai modal, untuk ditukarkan dengan keuntungan samada dalam bentuk wang, atau tidak. Justeru, komoditi agama ini difahami sebagai menunggang agama.

Menjadikan patung sembahan dan ibadah haji sebagai ‘bisnes’

Sebelum kita pergi lebih jauh, sama-sama kita mengkaji bagaimana komoditi agama ini berlaku di zaman dahulu. Antaranya apa yang diceritakan oleh Syeikh Sofiurrahman al Mubarakfuri di dalam muqaddimah Ar Rahiq al Makhtum menceritakan bagaimana Amr bin Luhai seorang pembesar Makkah yang mengalami penyakit ganjil, 400 tahun sebelum kelahiran Baginda S.A.W.

Ramai pakar perubatan dipanggil untuk mengubati beliau, namun tidak berhasil. Sehinggalah beliau diceritakan bagaimana orang-orang Syam menghilangkan penyakit mereka, antaranya dengan meminta kesembuhan daripada patung Hubal. Lalu Amr bin Luhai bergegas ke Syam dan membeli sebuah patung Hubal dan diletakkan di hadapan Kaabah.

Setelah meminta kesembuhan daripada patung tersebut, akhirnya penyakitnya sembuh. Lalu budaya membeli patung dari Syam semakin meningkat. Budaya membina dan menjual patung turut dilakukan oleh penduduk Makkah, khususnya mensasarkan kepada mereka yang hadir mengerjakan haji. Ibadah haji juga telah dikomoditikan apabila dijadikan sebagai pendapatan pembesar Makkah.

Haji asalnya adalah pengabdian kepada Allah S.W.T, sudah bertukar kepada projek ‘bisnes’ pembesar Makkah di samping perniagaan patung yang ‘laku keras’ setiap musim haji. ‘Bisnes haji’ yang kencang itu, sampai ke pengetahuan Abrahah, Raja Yaman. Lantas Abrarah membina Kaabah di Yaman untuk dikomoditikan, iaitu supaya masyarakat Arab hadir ke Yaman mengerjakan haji.

Namun, projek ‘bisnes haji’nya tidak menjadi. Setelah berfikir panjang kenapa tidak menjadi, akhirnya Abrahah bertekad untuk hancurkan Kaabah di Makkah, supaya masyarakat Arab berpindah tempat haji mereka ke Yaman. Bermulalah episod serangan Kaabah di Makkah, dan dinamakan tahun peristiwa tersebut Tahun Gajah, bersempena tentera bergajah milik Abrarahah.

Komoditi agama golongan terdahulu

Tidak cukup setakat itu, komoditi agama ini turut diamalkan pada zaman Nabi Ibrahim A.S yang dilakukan oleh Bapa Saudaranya Azar. Azar dikenali sebagai pembuat dan penjual berhala sepertimana yang diceritakan oleh Syeikh Abul Hassan Ali An Nadawi. ‘Bisnes’  berhala yang merupakan komoditi agama ketika itu sangat mendapat sambutan sehingga ia dianggap sebagai satu profession kerja.

Di zaman Nabi Musa A.S, bagaimana Samiri berjaya menyesatkan Bani Israel daripada landasan yang sebenar? Samiri adalah bentuk pemerdagangan agama secara jelas. Hal ini diceritakan oleh Allah S.W.T di dalam Surah Taha ayat 88 dan 89:

فَأَخۡرَجَ لَهُمۡ عِجۡلࣰا جَسَدࣰا لَّهُۥ خُوَارࣱ فَقَالُوا۟ هَـٰذَاۤ إِلَـٰهُكُمۡ وَإِلَـٰهُ مُوسَىٰ فَنَسِیَ

“Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: “Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!”

أَفَلَا یَرَوۡنَ أَلَّا یَرۡجِعُ إِلَیۡهِمۡ قَوۡلࣰا وَلَا یَمۡلِكُ لَهُمۡ ضَرࣰّا وَلَا نَفۡعࣰا

“Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?”

Di dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa Samiri ber’modal’kan patung anak lembu untuk meng ‘ claim’ bahawa ajaran dia lebih betul daripada Nabi Musa A.S yang hanya mengatakan Tuhan itu ada, tetapi tidak terlihat dengan mata. Justeru kita boleh faham bahawa Samiri adalah penunggang agama, yang menjadikan patung itu sebagai modal untuk mendapat keuntungan ‘pengaruh’.

Penentangan Karl Marx terhadap kecanduan

Di awal penulisan tadi saya ada ceritakan mengenai Karl Marx. Seorang Berbangsa Yahudi yang mengasaskan fahaman Marxisme. Karl Marx adalah seorang ahli falsafah yang menolak agama dan kecanduannya secara tegas. Ya, tidak dinafikan sejarah hidupnya banyak menyaksikan penyelewengan agamawan Kristian dan Yahudi yang dipanggil sebagai rabai atau paderi.

Di peringkat universiti, antara gurunya ialah George Hegel (1770-1831) yang terkenal dengan pemikirannya. Namun, Karl Marx dalam beberapa penulisannya mengkritik gurunya antaranya dalam bab Dialektikal. Antara karyanya ‘Critique on Hegel’s Philosophy of Right’. Karya ini menceritakan bagaimana agama itu diseleweng dan dicandukan.

Karl Marx menyifatkan bahawa agama itu sepatutnya adalah satu protes melawan penderitaan. Tetapi sayangnya agama dijadikan sebagai candu untuk mengubati kepedihan kaum yang tertindas dengan dijanjikan fantasi syurgawi. Lantas menyebabkan penganut-penganut agama ini tidak bangun menentang kezaliman, sebaliknya sabar dan pasrah dengan apa jua bentuk penindasan terhadap mereka.

Karl Marx menegaskan bahawa inilah yang dikatakan candu agama, yang diajar oleh para paderi. Beliau mempunyai bukti dan sandaran untuk mengatakan bahawa agama adalah candu untuk melenakan para penganutnya daripada bangkit menentang kezaliman. Pasrah sahaja dengan kezaliman, sekadar menunggu hari perhitungan. Walau bagaimanapun tidak semua kalamnya betul, dan tidak semua kalamnya salah. Ia perlu ditimbang dengan neraca syarak.

Komoditi agama era pemerintahan bergereja

Antara yang ditentang oleh Karl Marx adalah komoditi agama yang terjadi di zaman kanak-kanaknya. Bagaimana beliau hidup terpinggir, ayahnya dihina kerana menukar agama Yahudi kepada Kristian dan banyak lagi. Apabila mendapati Kapitalism method Adam Smith mula tersebar, beliau antara yang mengkritik pemikiran tersebut kerana mengkayakan golongan kaya, dan membiarkan orang miskin terus miskin.

Antara yang ditentang juga ialah bentuk-bentuk pemerdagangan agama yang berlaku dalam gereja. Kita boleh lihat bagaimana ketegasan Allah S.W.T terhadap golongan gereja yang menunggang agama;

فَوَیۡلࣱ لِّلَّذِینَ یَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِأَیۡدِیهِمۡ ثُمَّ یَقُولُونَ هَـٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِیَشۡتَرُوا۟ بِهِۦ ثَمَنࣰا قَلِیلࣰاۖ فَوَیۡلࣱ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَیۡدِیهِمۡ وَوَیۡلࣱ لَّهُم مِّمَّا یَكۡسِبُونَ

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.”

(al-Baqarah 79)

Jelas bahawa paderi dari kalangan Bani Israel terdahulu, ber’modal’ tulisan tulisan mereka itu, lalu mereka meng ‘claim’ ia adalah firman Tuhan. Inilah bentuk komoditi agama yang berlaku dalam dunia gereja sejak kurun ke-4 hingga 15 Masihi. Pendekatan ‘radikal’ Karl Marx terhadap agama-agama, akhirnya menyebabkan beliau menolak semua agama termasuk Islam.

Kefahaman Karl Marx terhadap suruhan agama agak terpesong, kerana hakikatnya sudah banyak siri-siri perjuangan Agama Islam menentang kezaliman. Walau bagaimanapun ketegasannya terhadap kecanduan agama itu agak tepat dengan apa yang diperintahkan oleh Islam supaya umatnya tidak ‘copy paste’ perangai orang Yahudi dan Kristian yang sesat disebabkan agamawan mereka.

Bentuk capal Rasulillah S.A.W yang dilogokan dan dikomoditikan

Di dalam al-Quran menceritakan banyak mengenai perangai umat-umat terdahulu yang tercandu, khususnya Bani Israel. Di dalam Surah al-Fatihah sendiri kita memohon kepada Allah S.W.T supaya dilorongkan ke jalan yang lurus, iaitu bukan jalan yang diikuti oleh Yahudi dan Nasrani. Kesesatan terbesar mereka disebabkan komoditi agama yang  menyebabkan mereka itu tercandu.

Namun, masyarakat Islam hari ini masih tidak terlepas daripada komoditi agama. Prinsip-prinsip agama dimanipulasikan kepada logo-logo atau simbol-simbol tertentu atau sebagainya untuk dijadikan ‘bisnes’. Logo capal Rasulillah S.A.W diambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan sedangkan sunnahnya yang lebih besar tidak diikuti.

Nabi S.A.W berpesan supaya berselawat kepada Baginda S.A.W sebagai tanda kasih, tetapi hari ini yang tukang jual logo capal ada yang merokok. Berqasidah itu bagus, tetapi ada ‘tekong’ qasidah bergeli-geli dalam Instagram dengan perempuan ajnabi. Menjual purdah dan tudung labuh adalah tuntutan syara’. Tetapi ada yang menutup aurat kerana mengikut trend para muhibbin. Kalau niat betul, alhamdulillah. Kalau niat salah, perbetulkan niat.

Saya tidaklah mengharamkan logo capal apatah lagi membid’ahkannya. Saya juga tidaklah menghalang penjualan tudung labuh apatah lagi ia tuntutan syara’. Cuma kita perlu faham bahawa Islam itu bukanlah semata-mata terletak pada logo capal apatah lagi menjadikannya sebagai ‘modal’ untuk mendapat keuntungan. Sebaliknya Islam itu adalah amalan dan prinsip-prinsipnya. Kalau niat betul, alhamdulillah. Kalau niat salah, perbetulkan niat.

Realiti hari ini, betulkan niat

Bertasawwuf merupakan suruhan Islam. Bertasawwuflah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Berqasidah dan berselawatlah untuk sebagai tanda kasihkan Nabi Muhammad S.A.W. Tetapi kalau bertasawwuf dan berqasidah itu diterjemahkan dengan meninggalkan jihad dan mengharamkan politik, sudah pasti ia bukan bertasawwuf dan berqasidah yang sebenar kerana Nabi S.A.W berjihad dan berpolitik. Kalau niat betul, alhamdulillah. Kalau niat salah, perbetulkan niat.

Para Ustaz pula ada yang menjadikan kuliah-kuliahnya sebagai sumber mencari sampul. Ya, pihak penganjur sepatutnya sediakan kos minyak kepada penceramah. Itu biasa.Yang luar biasanya, apabila ada masjid jemput berkuliah, penceramah siap boleh letak harga. Apabila harga tak kena, terus tak jawab telefon dan tidak berbalas whatsapp. Kalau niat betul, alhamdulillah. Kalau niat salah, perbetulkan niat.

Ada yang buat syarikat Umrah dan Haji. Kalau niatnya betul untuk membantu Umat Islam ke Makkah alhamdulillah. Tapi kalau niatnya semata-mata untuk buat duit, itu perlu dimuhasabahkan semula oleh tuan badan. Ada yang berniaga air bacaan al-Quran 30 juzu’, kalau niatnya betul untuk menyediakan air mineral keluaran Muslim alhamdulillah. Kalau niatnya untuk ‘bisnes’ dengan meletakkan harga RM20 untuk sebotol kecil, perlu dimuhasabahkan semula oleh tuan badan.

Ya, kita percaya mengenai khasiat air mineral yang dibacakan dengan ayat al-Quran. Tetapi kita tidaklah sampai men ‘taqdis’kan air tersebut sehingga menganggap ia mempunyai kuasa penyembuh. Begitu jugalah ayat al-Quran yang digunakan untuk mengubati, silakan. Cuma jangan terus cop tukang jampi itu sebagai wali yang kebal dari kesilapan.

Asas kewaspadaan terhadap jerat komoditi agama

Beberapa prinsip yang kita perlu faham, yang merupakan pendinding bagi menjauhi jerat komoditi agama, disebutkan oleh Imam Hassan al Banna menyatakan;

والتمائم والرقى والودع والرمل والمعرفة والكهانة وادعاء معرفة الغيب، وكل ما كان من هذا الباب منكر تجب محاربته إلا ما كان آية من قرآن أو رقية مأثورة.

“Jampi, mentera, mengaku mengetahui perkara ghaib dan seumpamanya adalah kemungkaran yang wajib diperangi, kecuali jampi-jampi daripada ayat al-Quran atau jampi-jampi yang diterima daripada Rasulullah.”

وكل أحد يؤخذ من كلامه ويترك إلا المعصوم صلى الله عليه وسلم، وكل ما جاء عن السلف رضوان الله عليهم موافقا للكتاب والسنة قبلناه، وإلا فكتاب الله وسنة رسوله أولى بالاتباع، ولكنا لا نعرض للأشخاص ـ فيما اختلف فيه ـ بطعن أو تجريح، ونكلهم إلى نياتهم وقد أفضوا إلى ما قدموا

“Perkataan seseorang boleh diterima atau ditolak, kecuali perkataan Rasulullah S.A.W yang bersifat maksum. Perkataan para solehin yang dahulu (salafussoleh) mesti kita terima jika bersesuaian dengan al-Quran dan hadith. Jika tidak, maka al-Quran dan hadithlah ikutan kita yang utama. Tetapi kita tidak melemparkan kecaman dan mencacatkan seseorang dalam masalah khilaf. Kita serahkan mereka dengan niat mereka masing-masing kerana mereka telah melakukan sesuatu dengan apa yang mereka telah kemukakan.”

ومحبة الصالحين واحترامهم والثناء عليهم بما عرف من طيب أعمالهم قربة إلى الله تبارك وتعالى، والأولياء هم المذكورون بقوله تعالى (الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ)، والكرامة ثابتة بشرائطها الشرعية، مع اعتقاد أنهم رضوان الله عليهم لا يملكون لأنفسهم نفعا ولا ضرا في حياتهم أو بعد مماتهم فضلا عن أن يهبوا شيئا من ذلك لغيرهم.

“Mencintai para solehin dan memuji-muji mereka berdasarkan amal-amal soleh yang mereka lakukan adalah sebahagian daripada taqarrub kepada Allah. Wali-wali Allah ialah mereka yang disebutkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa”. (Yunus: 63). Keramat yang berlaku ke atas mereka hendaklah terjadi dengan syarat-syarat yang bertepatan dengan syara’ serta mempercayai bahawa mereka adalah hamba yang diredhai oleh Allah S.W.T. Mereka tidak mampu untuk memberi manfaat atau
mendatangkan mudharat ketika hidup ataupun setelah mereka mendatangkan mudaharat ketika hidup ataupun setelah mereka mati. Mereka juga tidak mampu memberikan kurniaan yang ada pada mereka itu untuk orang lain.”

Dakwaan seseorang mengetahui alam ghaib, mendakwa kewalian, kasyaf, keramat dan sebagainya perlu ditimbang dengan neraca syara’. Bukanlah menolak mentah-mentah perkara perkara ini, sebaliknya perlu ditimbang supaya tidak terjerat dengan komoditi agama individu-individu tertentu bagi meraih keuntungan. – HARAKAHDAILY 11/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -