Membentuk karisma guru era teknologi

- Advertisement -

KUANTAN: Guru sebagai agen perubahan masyarakat tidak memadai sekadar berada di pusat-pusat pengajian, bahkan perlu sama menggali ilmu dalam majlis ilmu bersama orang awam di pelbagai medan.

- Advertisement -

Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor menukilkan nasihat penting itu ketika berucap pada Himpunan Mahabah Pendidik di Hotel Seri Malaysia, di sini kelmarin dahulu.

Dalam pembentangan bertajuk “Pendidik Rabbani Pendidikan Ummah”, Pengerusi Tarbiyah dan Pengkaderan Muslimat PAS Malaysia, Hamidah Daud pula menyenaraikan 12 ciri pendidik.

“Guru dikehendaki imannya dan perhubungannya dengan Allah S.W.T sentiasa mantap, sentiasa memilih Rasulullah S.A.W sebagai qudwah hasanah serta idola, berjiwa ikhlas dan jujur dalam setiap perkara.

“Mengamalkan sifat penyayang terhadap anak-anak didik walhal mereka anak orang lain, menyesuaikan penyampaian ilmu mengikut tahap dan akal anak didik, punyai penghayatan dan memiliki misi untuk mendidik secara ikhlas.

“Bersikap adil dan saksama di antara anak didik secara jelas, mengutamakan sikap amanah serta memberi komitmen dalam setiap tugasan sebagai persediaan berdepan dengan anak didik. Bersedia untuk berdepan dengan pelajar dengan persiapan yang cukup.

“Berketerampilan menarik serta kemas dan percaya bahawa lantunan doa dari seorang guru amat ditunggu-tunggu oleh masyarakat walaupun hidayah itu milik Allah,” ujarnya.

Program juga mengikuti pembentang yang dimajukan Pengarah Jabatan Pembangunan Mahasiswa Luar Negara Dewan Pemuda PAS Malaysia, Prof Madya Dr Muhammad Ibrahim yang bertajuk “Pendidikan Digital Era Digital”.

Pembentangan selama satu jam tiga puluh minit ini menceritakan tiga ciri-ciri utama ledakan teknologi ialah ibu bapa masih memegang sikap kurang prihatin terhadap anak-anak sedang lumrah mereka dilahirkan dengan fitrah umpama kain putih.

Tegasnya, yang mencorakkan dan mewarnakannya adalah ibu bapa di mana masa lapang sedang menguasai anak-anak bukannya anak mengawal masa lapang mereka.

Oleh itu katanya, situasi ini bergantung kepada pergaulan dan pengaruh persekitaran dan sebagai ibu bapa mesti menjadi contoh tauladan kepada kepada anak-anak.

Beliau turut menasihatkan supaya tidak terlalu mendedahkan anak-anak terhadap kemewahan harta benda, selain mendidik sebagaimana Rasulullah mentarbiyah para Sahabat R.A.

Iaitu jelasnya, seolah-olah memindahkan aura kepada para Sahabat yakni cara penyampaian yang berkesan iaitu menghubungkan mereka dengan Allah S.W.T. – HARAKAHDAILY 9/10/2019

- Advertisement -