Baruakah begitu?

- Advertisement -

BARUA, adalah satu perkataan yang dimaklumi, memberikan makna yang buruk bagi orang yang mendapat gelaran itu. Barua bermaksud orang perantaraan yang digunakan bagi mengerjakan sesuatu pekerjaan jahat. Ianya jelas, adalah suatu penghinaan. Tiada orang yang waras sanggup atau senang hati menerima gelaran itu. Ia menjatuhkan maruah individu itu.

- Advertisement -

Gelaran itu dirasa hina jika ia bukan kepada orang yang sepatutnya. Namun, sepertimana kita tahu, dalam politik, ramai yang suka mengambil kesempatan, menjadi musuh dalam selimut dan berkhianat kepada kawan mereka sendiri. Maka kepada spesis ini, amat patut jika diberikan gelaran barua kepada mereka. Kalau berkhianat kepada negara, pasti mati hukumannya.

Tetapi, perlu dilihat juga ia berasaskan kepada pihak manakah yang mereka melakukan itu. Dan bagi memastikannya, kita kena melihat kepada asas jemaah yang mereka sertai itu. Jika kumpulan itu dari kalangan Liberal, Sekular, yang melawan Islam, dan kita berjaya memecahkan kesatuan mereka, pastilah berpahala.

Sebagaimana seorang Sahabat yang memeluk Islam dalam Perang Ahzab, kemudiaannya mengucar kacirkan tentera Ahzab. Tetapi jika sebaliknya, menjadi barua kepada musuh Islam itu amatlah hina kerana mahu melawan dan memusnahkan Islam.

Mari kita lihat bagaimana dan kepada siapa perkataan barua ditujukan dan atas alasan apa mereka berkhianat. Ianya disebut oleh para pimpinan utama politik di Malaysia.

  • Pada 4 Mei 2015 Azmin kata IGP Barua Umno dalam satu ceramahnya di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Namun beliau kemudiaannya berkata, beliau hanya bertanya.

“SB ada di belakang? Kalau ada datang depan. Saya tak takut. Beritahu Ketua Polis Negara, tolonglah, nak jadi Ketua Polis yang menjaga keselamatan rakyat atau nak jadi barua Umno dan BN?” kata Azmin yang disambut sorakan kira-kira 200 hadirin.

  • Satu ketika, dalam sidang parlimen, Lim Kit Siang pernah memerli Umno bila Umno sedang membuat agenda Melayu Baru. Kata Kit Siang, bukan Melayu Baru, tapi Melayu Barua. Riuh dewan ketika itu.
  • Pada Perhimpunan 1 Mei 2014, Timbalan Presiden PAS ketika itu, Mohamad Sabu telah menggelarkan SPR sebagai barua Umno kerana tidak berpuashati dengan sistem pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR.

“Perjuangan belum selesai, SPR masih menjadi barua Umno. Tuan-tuan setuju? Oleh itu, perjuangan membebaskan SPR, perlu diteruskan oleh rakyat.”

  • Pada 20 September 2014, dalam ucapan penggulungan Presiden PAS di Muktamar PAS Pusat ke-60 beliau secara terang mengatakan ada broker dan barua dalam PAS untuk isu krisis MB Selangor yang menyaksikan dua orang Adun PAS, Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin berpaling tadah, mengkhianati PAS dengan menyokong PKR untuk melantik Wan Azizah sebagai MB Selangor.

Mereka kemudiaannya disambut pula oleh Lim Kit Siang serta pimpinan DAP lain dalam satu majlis dan keduanya dinobatkan sebagai wira kepada rakyat Selangor. Ronnie Liu mendakwa keduanya telah menyelamatkan Selangor daripada PAS dan Umno.

  • Tengku Razaleigh Hamzah pada 4 September lalu, meminta Umno menyingkirkan barua yang berada dalam Umno. Menurut beliau mereka yang tidak sehaluan dengan parti perlu dikenakan tindakan disiplin. Ucapan beliau pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Umno Bahagian Bagan Datuk
  • Terbaharu dalam satu rakaman selepas sidang media, Anwar secara sinis berkata Tun M lebih bersemangat selepas Kongres Maruah Melayu. Sebenarnya saya agak kurang jelas dengan perkataan maruah itu dengan barua. Tetapi saya percaya beliau tidak berkata begitu sebagai sangkaan baik.

Akan tetapi, walaupun sudah berapa kali kita mendengar kononnya mereka telah bermaafan, melupakan peristiwa hitam yang lalu. Saling hormat-menghormati, ianya kelihatan bagaikan palsu. Terdapat juga satu rakaman yang memperlihatkan Anwar agak emosional kerana tidak dijemput, sambil menghina profesor-profesor yang menjadi penganjur kongres itu.

Namun, kita tidak dapat memastikan sejauh manakah berbaiknya mereka. Dan lagi, tiada kelihatan teguran Anwar kepada Ronnie Liu yang begitu ghairah membuat “countdown” bagi penyerahan kuasa yang tidak pernah diiyakan oleh Tun itu. Apatah lagi Ronnie daripada DAP, dia tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan nama Anwar. Atau itu tandanya Anwar bersetuju? Kita tunggu sahaja perang mereka berdua. Bagi PAS jelas, buat masa ini, menganggap Tun adalah mudharat kecil berbanding Anwar.

http://www.astroawani.com/berita-politik/azmin-biadab-bila-panggil-polis-barua-umno-syed-ali-59332

https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2014/09/20/hadi-awang-muktamar

https://m.malaysiakini.com/news/275955

https://www.sinarharian.com.my/article/41420/BERITA/Politik/Pencenkan-barua-dalam-UMNO-Ku-Li

MOHD NASIR ABDULLAH
9 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 9/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -