Bila Melayu dipandang rendah di negara sendiri

- Advertisement -

DALAM amanat beliau di Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, antara lainnya berkata:
“Dan apabila kita pecah dan kita jadi kumpulan-kumpulan yang kecil maka kita berlawan sesama kita, apabila kita berlawan sesama kita maka terpaksalah kita bergantung kepada orang lain untuk mendapat kemenangan, apabila kita bergantung kepada orang lain sedikit sebanyak kita terhutang budi kepada mereka dan kita takut kalaulah kita tidak dapat sokongan mereka maka kita tidak akan dapat tempat bagi diri kita, dengan sendirinya kita sudah gadaikan kuasa yang diberi kepada kita kerana kita berpecah-belah, kerana kita ingin mendapat tempat yang tertentu bagi diri sendiri maka bangsa sudah digadaikan, inilah yang menyebabkan kita sekarang ini melihat maruah kita dihinakan, dipandang rendah, bahkan kaum bangsa kita dipandang rendah di negara kita sendiri.”

Tiada contoh paling baik yang membuktikan kebenaran kata-kata Tun Dr Mahathir ini melainkan kecaman bertalu-talu yang beliau sendiri terima semata-mata kerana menyatakan satu fakta sejarah dalam Kongres Maruah Melayu ini.

Fakta sejarah yang Tun Dr Mahathir nyatakan dalam Kongres Maruah Melayu ini adalah: 
“Kita harus ingat bahawa dahulu Semenanjung ini adalah milik orang Melayu, dia dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu, itulah nama Semenanjung ini, tetapi hari ini kita dapati kita terpaksa kongsi dengan orang lain… Di zaman belum kita merdeka, pihak British yang memerintah negara kita pada masa itu membawa masuk orang asing dengan ramainya dan Raja-raja kita berpendapat bahawa mereka ini adalah orang asing dan apabila habis tugas mereka, mereka akan kembali ke tanah air mereka, tetapi ini tidak jadi kenyataan, orang asing berasa selesa dengan negara kita dan mereka ingin tinggal di sini, nak tak nak pun kita terpaksa terima, kalau tidak kita tidak akan capai kemerdekaan.”

Istilah “orang asing” yang Tun Dr Mahathir gunakan ini bagaimanapun mendapat kecaman keras beberapa pihak dari DAP, khususnya:

(1)     Ahli Majlis DAP, Mohan Ramasamy, yang menulis “#BapakRacist”, “#SudahNyanyuk” dan “#ManaMaruahKamu”.
(2)     Ahli Dewan Undangan Negeri DAP, Ronnie Liu Tian Khiew, yang menulis “Kami bukan lagi orang asing”, “Kata-kata macam ini sakitkan hati kami”, “Lain kali tolong pakai otak sebelum membuka mulut”.
(3)     Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh, yang menulis “(it) is downright insulting and unbecoming”, “(it is) certainly uncalled for” dan “(it) is highly sensitive and threatens racial harmony in the country”.

Pelik kenapa perkara yang tidak patut dijadikan isu pun boleh disensasikan sebegitu rupa sedangkan:

(1)     Tunku Abdul Rahman Putra dalam kenyataan beliau dalam The Straits Times Annual 1957 pun menyebut “All aliens who have been resident for 10 years can become citizens, if they sincerely desire it.”
(2)     Prof Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi dalam buku beliau bertajuk “Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia” pun menyebut “As a result of the social contract between the various races, millions of migrants to British Malaya were bestowed with citizenship by the Merdeka Constitution.”

Bukankah istilah-istilah “aliens” dan “migrants” ini sememangnya adalah membawa makna “orang asing” atau “pendatang asing”?

Malah, dalam buku biografi “Karpal Singh: Tiger of Jelutong” pun ada diceritakan bagaimana Datuk Ramkarpal Singh bernama Ram Singh Deo adalah “orang asing” atau “pendatang asing” yang datang mencari rezeki di negara ini dari Amritsar, Punjab, pada tahun 1928 dan hanya menjadi warganegara menjelang merdeka.

Tiada apa pun yang patut jadi masalah dengan istilah “orang asing” ini sebenarnya tetapi inilah jadinya bila Melayu dipandang rendah di negara sendiri. – HARAKAHDAILY 8/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -