WKB 2030 : PAS bersedia memberi pandangan

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menyambut baik Wawasan Kemakmuran Bersama, 2030 (WKB 2030) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad pada 5 Oktober 2019.

- Advertisement -

Wawasan ini dinyatakan akan bermula seiring dengan Belanjawan Kemakmuran Bersama 2020 yang akan dibentangkan tidak lama lagi sekali gus menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia ke 12 dan 13.

PAS sentiasa konsisten terhadap dasar-dasar pengukuhan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera yang kian ketinggalan.

Terkini, ekuiti korporat Bumiputera dilaporkan pada tahap 16.2 peratus berbanding 23.4 peratus pada tahun 2011. Jauh lebih rendah berbanding ekuiti bukan Bumiputera, 30.7 peratus dan pemilikan ekuiti asing yang meningkat kepada 45.3 peratus seperti yang dinyatakan dalam intipati ringkasan WKB 2030.

Jurang pendapatan antara T20 dengan B40 juga meningkat dengan agak ketara iaitu RM10,148 pada tahun 2016. 

Angka-angka ini dengan jelas menunjukkan jurang perbezaan (inequality) yang besar di kalangan Bumiputera dan bukan Bumiputera serta ketidaksamaan yang ketara antara wilayah Lembah Klang dan negeri-negeri lain.

Walaupun secara dasarnya wawasan ini dirangka untuk menangani permasalahan tersebut bagi jangka masa tahun 2021 hingga 2030, PAS masih memberikan harapan supaya Kerajaan Persekutuan menyelesaikan isu sedia ada terlebih dahulu.

Sebagai contoh, masih berbangkit isu royalti petroleum Kelantan dan Terengganu. Terengganu contohnya, walaupun wang royalti petroleum telah dibayar, namun dikenakan potongan 25 peratus untuk membayar hutang Kerajaan Persekutuan walaupun Kerajaan Persekutuan juga mempunyai hutang dengan Terengganu. Isu royalti Kelantan juga belum selesai hingga ke hari ini.

Ini adalah contoh yang berlaku di negeri yang majoritinya Melayu dan Bumiputera. 

Rakyat bukan sahaja mahu melihat kepada kesempurnaan dasar yang dirangka, tetapi konsistensi terhadap pelaksanaan dasar-dasar tersebut bermula sekarang dan menyelesaikan permasalahan berbangkit. Ini termasuklah pelaksanaan manifesto yang telah dijanjikan.

PAS akan terus memberi pandangan dari semasa ke semasa terhadap perancangan dan pelaksanaan WKB 2030. Ini selaras dengan pendirian PAS untuk memastikan masyarakat Bumiputera termasuk orang Melayu, Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak lebih kompetetif dan berdaya maju.  

“Islam Memimpin Perpaduan”

“Muafakat Nasional, Membina Malaysia Sejahtera”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
8 Oktober 2019 | 9 Safar 1441 – HARAKAHDAILY 8/10/2019

- Advertisement -