Tolak Gagasan “Malaysian Malaysia” DAP

- Advertisement -

GAGASANMalaysian Malaysia‘ boleh mencabar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. DAP berselindung di sebalik gagasan ini bagi menutup ketidakpuasan hati mereka terhadap perkara ini. DAP kononnya hendak menjadi juara bagi menyelesaikan masalah jurang atau ketegangan yang berlaku antara orang Melayu dan kaum lain dengan memastikan peluang yang sama dapat dinikmati oleh semua kaum tanpa mengira warna kulit.

- Advertisement -

DAP dengan idealogi perjuangan Sosialis Demokrat mendakwa mereka menggunakan saluran demokrasi bagi membetulkan ketidakadilan sosial dan ekonomi yang mahu menghapuskan ketidaksamaan dalam pembahagian kekayaan negara dan mahu menyusun semula sistem ekonomi Negara yang dilihat menekan setengah pihak.

Pemimpin Melayu terdahulu telah berjaya meletakkan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai satu hak yang kekal dan dilindungi melalui peruntukan dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu diiktiraf sebagai kaum Bumiputera dan pada masa yang sama bersetuju menerima kaum bukan Melayu sebagai rakyat Tanah Melayu. Dengan ini, kaum bukan Melayu tidak perlu khuatir bahawa hak dan kepentingan ekonomi mereka akan hilang.

Sistem politik Islam yang diperjuangkan oleh PAS tidak pernah menafikan hak mana-mana kaum atau bangsa kerana prinsip Islam adalah prinsip yang berasaskan kepada Pencipta sekalian alam yang bersifat Maha Sempurna.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Syura ayat 15 yang bermaksud:

Dan Aku diperintahkan supaya berlaku adil antara kamu”.

Dalam ayat yang lain, Allah S.W.T mengingatkan:

“Dan apabila kamu mengatakan sesuatu, maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu).”

 (al-An’am ayat 152)

Muslimat PAS membantah dan menggesa agar Gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang tercetus dari mulut pemimpin DAP tidak menjadi kenyataan. Jangan bakar amarah rakyat! Jangan ancam kedaulatan dan keselamatan Negara Malaysia yang tercinta. Kerajaan perlu tolak dan menghapuskan terus impian gagasan ‘Malaysian Malaysia’!

DR NAJIHATUSSALEHAH AHMAD
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia
17 Muharram 1441
17 September 2019 – HARAKAHDAILY 17/9/2019

- Advertisement -