Muslimat Perak atur strategi pakar PRU15

IPOH: Dewan Muslimat PAS Negeri Perak telah menganjurkan Bengkel Strategi dan Media 1.0 bertempat di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak, di sini semalam.
 
Ia dikendalikan Pengarah Jabatan IT, Norulain Jihad dengan kerjasama Lajnah Penerangan yang mengumpulkan semua Ketua Penerangan dan Pengarah IT Muslimat PAS Kawasan-kawasan.
 
Ketua Penerangan Muslimat PAS Perak, Ustazah Hasna’ Abd Somad berkata, aspek pengetahuan dalam pelbagai bidang penting untuk mendekati masyarakat dalam menyampaikan dakwah.
 
Jelas beliau, ahli PAS bukan sahaja harus bersandar kepada gerak kerja dakwah dibuat, tetapi paling penting sentiasa mendekatkan diri dengan Allah sebagai pergantungan atas usaha tersebut.
 
Pada bengkel ini peserta didedahkan mengenai teknik penulisan berita, rakaman video ringkas, serta pembahagian tugas Unit IT sebagai usaha proaktif meningkatkan kepakaran berkaitan menuju PRU15.
 
Ia juga sebagai persediaan awal para peserta sebelum menghadiri bengkel lanjutan anjuran PAS Pusat yang akan diadakan selepas Syawal nanti. – HARAKAHDAILY 23/5/2019