PAS Bukit Gantang perakui komitmen para amilin

BUKIT GANTANG: Muslimat PAS Kawasan Bukit Gantang telah mengadakan program Semarak Kasih Ramadan yang menghimpunkan amilin PAS di Markas Tarbiyah PAS Bukit Gantang, di sini semalam.
 
Majlis dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Bukit Gantang itu sebagai penghargaan kepada semua guru PASTI, anggota Jabatan Amal dan para amilin Lajnah serta Jabatan.
 
Mereka diraikan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Yang DiPertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Faisal Abdul Rahman serta Ketua Muslimat PAS Bukit Gantang, Nor Aini Ahmad bersama pimpinan lain.
 
Ustaz Idris menyifatkan pengorbanan para amilin PAS sangat tinggi nilainya yang tidak terhitung dengan wang ringgit di mana membuktikan istiqamah berkhidmat dengan ganjaran tidak seberapa.
 
“Dua institusi PAS telah berjaya di dalam matlamat memasyarakatkan PAS ialah Jabatan Amal dan PASTI. Jabatan Amal sudah dikenali dalam kerja sukarelawan dan seiring dengan agensi kerajaan dalam operasi-operasi.
 
“PASTI pula terus jadi pilihan sebagai institusi pra-sekolah berlandaskan Islam. Contoh di Dun Rantau Negeri Sembilan, walaupun pengaruh PAS kurang di situ, tetapi PASTI wujud dan mendapat sambutan,” ujarnya.
 
Pada majlis ini, semua amilin menerima sumbangan, selain Muslimat PAS Bukit Gantang turut menyampaikan sumbangan pembinaan SRITI Al-Helmi yang merupakan sebahagian kompleks bernilai RM3.5 juta. – HARAKAHDAILY 23/5/2019
IMG 20190523 WA0007