Adminnya sedang bina keganasan persepsi

marzuk
Datuk Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

SAYA dihujani dengan pertanyaan tentang isu kenyataan yang katanya disiarkan di page rasmi Dr Maza Mufti Perlis, niat tidak mahu mengulas isu panas ini sebagai menghormati Ramadan.

- Advertisement -

Namun terkejut apabila melihat page DrMAZA.com. Secara jelas adminnya sedang bermain dan membina keganasan persepsi apabila dengan sengaja menyiarkan gambar suspek kes bakar kereta DrMaza bersama Presiden PAS TGHH. Ulasannya pula penuh dengan konotasi jahat dan mencurigakan, licik, berbaur fitnah dan tuduhan liar yang mendahului proses keadilan. Apakah admin DrMaza cuba memburukkan imej PAS dan Presiden PAS?

Saya amat berkeyakinan bahawa tindakan admin pagenya itu bukanlah menggambarkan pendirian DrMaza atau arahan beliau atau juga keizinan beliau, jauh sama sekali senjata saraf beliau dalam menyerang sasarannya yang berselindung di sebalik nama admin. Saya yakin bukan begitu sikap beliau dan saya amat bersangka baik terhadapnya.

Namun barang diingat tindakan admin Page DrMaza yang memulakan “serangan” ini. Konsekuennya sangat besar terhadap keganasan persepsi. Apa yang membimbangkan ianya akan menjadi satu wabak persepsi jahat yang tidak lagi mampu dikawal sehingga menyumbang kepada keganasan lain. Sebarang kesan yang terjadi yang mungkin berpanjangan selepas ini tangan admin DrMaza.com ini harus bertanggungjawab.

الْمُسْتَبَّانِ مَا قَالاَ فَعَلَى الْبَادِئِ مَا لَمْ يَعْتَدِ الْمَظْلُوْمُ

“Dua orang yang saling mencela dosanya ditanggung oleh yang memulai, selama orang yang dizalimi tidak melampaui batas.” [HR Muslim]

PAS amat mengutuk perbuatan jenayah bakar kereta tambah lagi keatas agamawan besar seumpama DrMaza. Soal bersalah atau tidaknya suspek serahlah kepada proses keadilan mahkamah, PAS sebagai parti yang berintegriti tidak sekali-kali akan berkompromi dan campur tangan untuk mengganggu dan mendahului proses keadilan. Kalau sekiranya suspek yang masih dalam siasatan terbukti bersalah sekalipun, itu adalah dosa peribadinya. Mengaitkan PAS atau Jabatan Amal secara langsung adalah perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab.

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةࣱ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۗ 

“Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain”. [Surah Al-Isra’ 15]

Antara malapetaka dan huru hara besar umat ini selepas kewafatan Nabi SAW adalah berpunca daripada dosa peribadi diangkat menjadi salah puak, kumpulan dan keturunan sehingga mencetuskan fitnah dan perang saudara yang mengorbankan ramai jiwa umat islam termasuk sahabat-sahabat Nabi SAW.

Kata seorang Muhaqqiq dan sejarawan Islam Muhibbudin Al-Khatib sebarang pembunuhan dan darah sahabat yang gugur akibat perang saudara rentetan daripada pembunuhan Othman RA dosanya ditanggung oleh tangan orang yang memulakan iaitu pembunuh Othman.

Amat malang dan sangat dukacita kalau pengajaran dari sirah dan sunnah serta pedoman kisah salafussoleh dilupai oleh golongan yang mendakwa mereka adalah pejuang-pejuangnya.

Saya menasihati kita semua dan admin page DrMaza agar perbetulkan kesilapan ini, bertakwa dan bertaubat kepada Allah. Begitu juga seruan sama kepada penyokong dan pendukung PAS agar bertenang. Harapan saya isu ini terhenti di sini dengan kemaafan, berlapang dada dan perdamaian. Saya yakin itulah juga harapan orang yang sedang mengikutinya.

AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
Rabu 17 Ramadan 1440H /22 Mei 2019 – HARAKAHDAILY 22/5/2019

- Advertisement -