SRITI Lenggong wakili Perak dalam 4 acara

- Advertisement -
LENGGONG: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Hidayatul Quran semakin cemerlang, apabila empat daripada 13 acara temasya sukannya di peringkat kebangsaan akan diwakili peserta-pesertanya bagi kontinjen negeri Perak.
 
Guru Besarnya, Ustaz Hushairi Ariffin berkata, empat acara yang diungguli SRITI Hidayatul Quran di peringkat negeri baru-baru ini ialah acara bola jaring, lari 70 meter individu (perempuan), lari 100 meter individu, lelaki dan perempuan.
 
Menurutnya, mereka akan menyertai kontinjen Perak ke temasya sama bagi peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kelantan nanti.
 
“Seramai 32 pelajar Hidayatul Quran Lenggong menyertai 13 acara yang dipertandingkan dalam Temasya Sukan SRITI peringkat negeri yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentosa di Kampar baru-baru ini.
 
“Dengan diiringi tujuh guru, mereka berjaya mengungguli empat acara dan mendapat tempat ketiga bagi acara memanah perempuan, dikira satu pencapaian terbaik setakat ini,” katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas majlis meraikan kemenangan peserta-peserta sukan itu semalam.
 
Hadir sama memeriahkan majlis yang turut diadakan upacara potong kek itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Lenggong, Ustaz Muhammad Rifa’at Razman dan Ketua Dewan Muslimat Lenggong, Ustazah Fauziah Musa.
 
Ustaz Hushairi memaklumkan, SRITI Hidayatul Quran yang kini baru berusia tiga tahun, pada tahun lepas berjaya mewakili Perak dalam acara pecut 70 meter lelaki dan 4 X 70 meter perempuan ke peringkat kebangsaan yang telah diadakan di Kedah. 
 
Tambahnya lagi, ketika upacara perbarisan sempena temasya sukan di peringkat negeri baru-baru ini, SRITI Hidayatul Quran membawa tema ‘Pahlawan Melayu’ dengan slogan ‘Takkan SRITI Hilang Di Dunia’.
 
Sementara itu, Ustaz Rifaat di dalam ucapannya berkata, kecemerlangan anak-anak SRITI Hidayatul Quran sewajarnya diraikan supaya mereka bersemangat diberikan perangsang oleh guru-guru.
 
Jelasnya, kecemerlangan mereka dalam bidang sukan, sebaik-baiknya menjadi pendorong kepada mereka untuk lebih cemerlang dalam bidang akademik dan diharap mereka akan menjadi insan soleh yang pintar mempunyai syahsiah rabbani dan murabbi. –  HARAKAHDAILY 6/5/2019
- Advertisement -