Ta’awun dituduh ekstrem tanda DAP bimbang kalah

- Advertisement -
BUKIT GANTANG: Perkembangan kerjasama PAS dan Umno telah diberi tanggapan paling ekstrem dan menyeleweng oleh pihak yang kritikal terhadapnya hingga digelar dengan tuduhan ‘Taliban’.
 
Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad mengulas kebimbangan pihak-pihak tersebut ketika menyampaikan Ceramah Penyatuan Ummah di Markas Tarbiyah PAS Sungai Tinggi, Trong, di sini semalam.
 
Walhal menurutnya, penyatuan ummah kali ini merupakan manifestasi kebangkitan khususnya Melayu dan Islam atas kekecewaan mereka terhadap dasar-dasar PH yang menggugat kaum dan agama.
 
Jelas beliau, kenyataan dan tindakan ramai pimpinan dalam Kerajaan PH hari ini menampakkan betapa sikap tidak mesra dengan Islam, termasuk segala hal ehwal yang berkaitan Melayu
 
“Kerjasama PAS dan Umno sememangnya perlu diakui satu tindak balas segera kepada keputusan PRU14 yang meletakkan parti dan wakil rakyat bukan Melayu menguasai pentadbiran.
 
“Di mana, 63 peratus orang Melayu dikuasai oleh 36 peratus orang bukan Melayu,” ujarnya menegaskan penyatuan dua parti itu adalah atas dasar Islam demi memelihara kepentingan ummah.
 
Beliau turut menyatakan bahawa pihak yang paling menyerlahkan kebimbangan terhadap penyatuan ummah terutama antara PAS dan Umno adalah DAP yang khuatir tempias kekalahan pada PRU15.
 
Turut berucap pada majlis itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria dan Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman serta Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Tajuddin Abdul Rahman.
 
Juga Ahli Parlimen Pontian, Dato’ Ahmad Maslan dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Perak, Drs Khalil Idham Lim Abdullah serta lain-lain pimpinan daripada Umno Perak. – HARAKAHDAILY 3/5/2019
- Advertisement -