Rasuah antara minyak dan rokok

- Advertisement -

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands diadakan gara-gara rasuah. Kemuncaknya akhir November lepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di parlimen terbabit.

- Advertisement -

Pada prosiding petisyen itu ada ketua masyarakat Orang Asli dilapor memberitahu calon BN memberi sejumlah RM2,100 kepada enam tok batin.

Tok batin juga mendakwa mereka diberi wang sebanyak RM200 bagi keperluan rokok ketika kempen.

Dakwaan pembelian undi itu dibuat calon DAP, M Manogaran. Pempetisyen berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah, wang diberi kepada pengundi semasa kempen.

Pada 9 Mei lepas Dato’ Sivarraajh mewakili BN menang majoriti 597 undi pada pertandingan 5 penjuru di Cameron Highlands.

Namun semalam M Manogaran menyifatkan pula pemberian wang tidak salah. Katanya seperti dilapor media, beri wang kepada sukarelawan parti tidak menyalahi undang-undang.

Jelas di sini, kesalahan hampir sama namun tafsiran pula berbeza. Sivarraajh sepatutnya membongkar kemungkinan sukarelawan DAP terbabit juga pengundi di Cameron Highlands.

Nampaknya kalau pelakon drama mewakili kerajaan dianggap tidak salah, sebaliknya sekiranya dari blok pembangkang disebut pula rasuah.

Ini mungkin lambakan keanehan dibiarkan berlaku di era Malaysia Baharu sekarang.

Kata seorang peguam DAP, calon BN sebelum ini tidak memberi alasan individu yang diberi wang (sogokan) sebagai sukarelawan parti itu.

“Kedua-dua senario itu berbeza bagaikan siang dan malam dan tidak patut digolong dalam satu kategori,” kata Syahredzan Johan.

Benarkah begitu. Apa kata kalau Sivarraajh boleh buktikan sukarelawan DAP itu juga pengundi di Cameron Highlands.

Mungkin peguam terbabit perlu mencipta alasan lain pula. Sebaliknya Pemuda MIC berhujah jika benar mereka sukarelawan, kenapa perlu diberikan imbuhan.

“Bukankah sukarelawan itu membuat kerja secara sukarela,” kata Ketua Biro Politik Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishnan.

Veteran DAP juga mempertahankan upah untuk sukarelawan terbabit.

Bagi Lim Kit Siang, wang tersebut diagih sebagai bayaran petrol khas untuk sukarelawan DAP. Dalam kes tersebut ternyata pemimpin DAP tidak kering idea.

Tindak tanduk seperti itu bagi Pak Mat di Felda Sungai Koyan, warna merah cuba digambarkan sebagai oren. Sogokan atau rasuah tetap salah sama ada untuk membeli petrol atau rokok.

Cuba belek kosa kata Kamus Dewan. Disebut sogok memberi makna wang ~ = sogokan wang rasuah (suap); makan suap atau menyogok.

Rasuah pula pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok atau menyuap). Apakah ketika membuat keputusan kes rasuah pada November lalu mahkamah mengambil kira maksud tersebut.

Apa pun kes petisyen pilihan raya Cameron Highlands melakar sejarah. Sedangkan 60 tahun lepas kelakuan disifat sogok pengundi seringkali kedengaran. Ia seperti berlaku di mana-mana.

Malah saksi Orang Asli yang memberi keterangan kes petisyen Cameron Highland memberitahu diberi wang oleh BN bagi membeli rokok.

Namun wang diberi petugas DAP, kata Kit Siang untuk membeli minyak. Sketsa serupa namun tafsiran berbeza. Ia tentunya agak sukar difahami pakcik dan makcik di Dun Jelai.

Mungkinkah seandainya Manogaran dinobat menang 26 Januari ini, tiba-tiba Ramli Mohd Nor membuat petisyen lain pula.

Bukti lebih lengkap ada gambar yang meluas di media sosial. Jadi apakah Mahkamah Pilihan Raya mengarahkan sekali lagi PRK Cameron Highlands diadakan. Kata orang tua-tua, bagai abu di atas tunggul. – HARAKAHDAILY 16/1/2019

- Advertisement -