Harap pertimbang semula pembatalan ECRL

- Advertisement -

SEBAGAI anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu, saya amat berharap Kerajaan Pusat mempertimbangkan semula keputusan pembatalan ECRL.

- Advertisement -

Banyak yang telah dilakukan oleh Kerajaan Terengganu penggal lepas dan Kerajaan Negeri sekarang untuk mempermudahkan urusan MRL menjayakan projek mega ini terutama dalam urusan pengambilan tanah sepanjang laluan yang dicadangkan.

Pihak Syarikat MRL juga telah mengadakan taklimat tentang progres projek ECRL kepada kepimpinan baru Kerajaan Negeri. Kita tahu ada Bukit Bauk yang telah ditebuk untuk dibina terowong, kelulusan pengambilan tanah telah diberikan oleh Kerajaan Negeri, Depo telah dibina di beberapa lokasi serta pelbagai lagi kerja-kerja yang telah dibuat.

Meskipun ada kontroversi dari segi nilai projek yang terlalu tinggi, saya berpendapat keputusan membatalkan terus projek adalah sangat merugikan sama ada dari segi implikasi kewangan untuk membayar ganti rugi kepada China, kehilangan peluang pekerjaan dan yang paling besar ialah menafikan tiga negeri pembangkang Pahang, Terengganu dan Kelantan untuk menikmati impak sosioekonomi yang besar dari pelaksanaan projek ini.

Masih belum terlambat untuk mempertimbangkan semula keputusan pembatalan ini. Tenaga pakar kita boleh dimanfaatkan untuk mencari jalan bagi pengurangan kos tapi bukannya keputusan pembatalan.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 22/8/2018

- Advertisement -