Perutusan Aidiladha 1439 MB Terengganu

trg
- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izin-Nya kita masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan dan dapat meraikan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada 10 Zulhijjah 1439H bersamaan 22 Ogos 2018.

- Advertisement -

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan ketaatan anakanda beliau baginda Nabi Ismail a.s.. perlu sentiasa dihayati dan kita diajak untuk merenung semula serta mengambil ibrah daripada keperitan baginda semasa melakukan korban pada anaknya sendiri iaitu Nabi Ismail a.s. semata-mata menunaikan suruhan Allah SWT.

Dalam konteks dunia pada hari ini, konsep pengorbanan itu sendiri mencakupi makna yang lebih luas dan mendalam. Ia menuntut sebuah tanggungjawab, terutamanya dari segi masa, tenaga, wang ringgit dan sebagainya dalam menyumbang ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara.

Konsep itu wajar diteladani oleh kita semua umat Islam terutamanya ketika keadaan negeri kita baru sahaja bertukar tampuk pemerintahan.

Apa yang baik akan diteruskan, manakala setiap kelemahan yang ada kita akan perbetulkan. Semua ini dilakukan tidak lain tidak bukan hanyalah untuk kepentingan dan kebaikan rakyat. Oleh itu, cita-cita ini tidak akan terlaksana tanpa pengorbanan daripada kita semua.

Akhir kata, saya ingin menyeru kepada semua rakyat Terengganu agar menghayati pengertian pengorbanan dengan meningkatkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan semua penduduk dari berbagai bangsa dan latar belakang.

Saya juga berharap agar semua rakyat Terengganu khususnya kepada semua penjawat awam akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi serta sanggup melakukan pengorbanan dengan penuh ikhlas demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri Terengganu yang kita cintai ini agar terus maju, berkat dan sejahtera seiring dengan kemajuan negara dan dunia.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
21 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 21/8/2018

- Advertisement -