Berimankah kita? (Siri 4)

- Advertisement -

APAKAH tiada di kalangan kita orang beriman lagi soleh?

- Advertisement -

Sudah tentu ada. Umat Islam tidak akan bersatu dalam kesesatan. Cuma, kuantiti mereka (yang sedar) adalah kecil, dan dengan jumlah yang kecil ini pula mereka ibarat benih yang bertebaran dan berserakan. Dari jumlah yang kecil ini, sebahagian besarnya mudah berputus asa, memilih untuk meletakkan senjata dan meninggalkan medan memerangi pemikiran Kuffar yang jahat lagi penuh muslihat.

Sebahagian lagi pula hanya gemar merungut dan memekik, terkadang penuh dengan emosi kesedihan (meraih simpati), dalam keadaan mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah, tanpa menyusun atur langkah kerja yang proaktif lagi positif. Dan sebilangan yang lain langsung dengan minda negatif sepanjang masa, merasa lemah, hina dan tidak ada lagi ruang untuk menang.

HA : Lalu, apakah cara untuk menyelesaikan masalah ini?

DQ : Penyelesaian ada pada golongan orang beriman lagi soleh itu.

Golongan orang beriman lagi soleh mampu menyelesaikan kebobrokan yang berlaku dalam masyarakat dengan menyeru semua untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Mengingatkan masyarakat dengan menyampaikan khabar gembira mentaati perintah Allah dan juga peringatan melanggarinya. Kedua tugas ini mesti disempurnakan secara bersepadu. Malahan bertanggungjawab membebaskan umat daripada belenggu kejumudan, hidup dengan pembudayaan kritis dalam berfikir dan jauh daripada kekufuran.

Golongan ini juga mestilah hidup dengan menjiwai keperluan dan tuntutan pada zamannya, memahami perihal masyarakat sekeliling dan desakan hidup yang menghimpit mereka dari aspek material dan pemikiran. Kesemua ini pula diselesaikan dengan merujuk kepada tokoh-tokoh dan kepakaran para sarjana dan ilmuan, bukan dengan akalan mengejar nama ataupun tindakan semberono yang tidak menunjukkan kematangan. Senjata ampuh dalam menghadapi cabaran akhir zaman ini adalah sabar dan yakin. Ini kerana serangan yang melanda umat Islam merobek segenap aspek kehidupan dalam keadaan kita tiada persediaan yang kemas.

Kesabaran dan keyakinan membawa mesej Islam melayakkan umat dipimpin oleh golongan bertaqwa yang mementingkan keseimbangan keperluan duniawi dan prioriti ukhrawi:

“Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”

(as-Sajdah: 24)

Persoalan: Seandainya orang beriman lagi soleh gagal melunaskan kewajipan ini, lalu apa kesudahannya?

Jawabku: Pastilah ia perjalanan dan kesudahan yang memeritkan lagi menakutkan. Allah menjanjikan balasan yang berat, bahkan Allah berhak menggugurkan kita dan diisi oleh kumpulan lain yang lebih kompeten:

“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(at-Taubah: 39)

Allah juga telah mengingatkan kepada kita, akan tribulasi yang mewarnai jalan perjuangan.

 “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”

(at-Taubah: 24)

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
23 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 23/7/2018

- Advertisement -