PRK Sg Kandis: Ahli PAS nak undi siapa?

- Advertisement -

UMUM sudah mengetahi bahawa tiga bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis yang berlangsung pada 4 Ogos ini.

- Advertisement -

Mereka terdiri daripada Datuk Lokman Noor Adam, (BN) dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PKR) dan K Murthy (Bebas).

PRK Sungai Kandis diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PKR, Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Mat Shuhaimi mendapat 23,998 undi, BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan memaklumkan parti itu tidak bertanding dalam PRK Sungai Kandis.

Ini kerana PAS ingin mengkaji terlebih dahulu Hasil Dapatan Jawatankuasa Post-Mortem PRU14 PAS Pusat yang sedang disiapkan ekoran tahap keputusan dalam PRU yang lalu, khususnya di Negeri Selangor.

Menurutnya, PAS tidak menurunkan jenteranya dalam PRK Sungai Kandis tetapi seluruh jentera PAS akan terus bergerak untuk mengukuhkan parti pasca PRU14 bagi persiapan menghadapi PRU15.

Beliau juga menyatakan bahawa ahli-ahli PAS di Sungai Kandis diarahkan membuat pilihan berpandukan pertimbangan yang wajar demi kepentingan Islam/Melayu serta masa depan negara dengan mengambil kira sikap PAS terhadap kerajaan baru PH adalah kekal sebagaimana sebelum PRU14 lalu.

“PAS juga berpandangan suatu amalan demokrasi yang baik (good democratic practice) memerlukan proses semak dan imbang (check and balance) dalam pentadbiran sesebuah kerajaan, termasuklah Kerajaan Selangor.

“Dengan kata lain, peranan pembangkang adalah amat penting,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan kenyataan itu, jelas PAS menekankan bahawa pembangkang dalam konteks Kerajaan Negeri Selangor adalah penting dalam proses semak dan imbang.

Pembangkang di Selangor adalah selain daripada parti dalam gabungan Pakatan Harapan iaitu BN dan PAS yang mempunyai wakilnya dalam Dewan Negeri yang menang pada PRU14 lalu.

Dalam PRK Sungai Kandis, calon daripada pembangkang adalah BN walaupun calon Bebas turut bertanding.

Kalau melihat kepada tulisan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasridn Hassan menerusi laman Facebooknya jelas bahawa PAS tidak menghantar calon kerana telah memutuskan awalnya untuk memastikan PRK Sg Kandis menyaksikan 1 lawan 1 supaya undi pembangkang tidak pecah dan PH mudah ditewaskan.

Beliau menegaskan bahawa PH mesti dikalahkan dalam PRK Sg Kandis supaya menjadi satu isyarat kepada kerajaan PH bahawa rakyat tidak mahu terus dipermain dengan kegagalan PH menunaikan janji pilihan raya seperti menghapuskan tol, menurunkan harga minyak, menghapuskan hutang peneroka Felda dan banyak lagi.

Pada peranggan akhir tulisannta itu, beliau menyatakan beraksi di pentas demokrasi dan menghormati hak memilih, maka pengundi diseru supaya menolak PH dalam PRK Sg Kandis.

“Anda mempunyai 1001 sebab untuk menewaskan PH dalam PRK Sg Kandis,” tulisnya.

Daripada kenyataan itu, ahli-ahli dan para penyokong PAS sudah mendapat isyarat yang terlalu terang untuk mengundi calon yang bertanding pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos nanti.

ABU AIMAN,
Sungai Buloh – HARAKAHDAILY 22/7/2018

 

- Advertisement -