Bantah UEC: Mahasiswa akan ke pejabat Dong Zong

- Advertisement -

HIMPUNAN Mahasiswa Bantah UEC pada 21 Julai lalu di Kuala Lumpur merupakan gelombang pertama mahasiswa Malaysia mendesak Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik agar segera membatalkan hasrat untuk mengiktiraf sistem pendidikan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) dalam negara kita.

- Advertisement -

Kami tegas mengatakan bahawasanya tugas utama bagi menteri di Kementerian Pendidikan Malaysia selepas daripada PRU14 adalah membaiki sistem pendidikan negara sedia ada agar mencapai kualiti bertaraf antarabangsa dan bukannya sibuk untuk mengiktiraf sistem pendidikan asing. Jangan ‘kera di hutan disusukan tetapi anak di pangkuan mati kelaparan’.

Kami juga kecewa dengan kelemahan Menteri Pendidikan Malaysia yang tidak mampu bertegas dalam isu UEC ini. Kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia yang tidak konsisten dalam isu UEC adalah bukti yang jelas Menteri Pendidikan Malaysia berada dalam keadaan yang lemah untuk menolak UEC dan memastikan sistem pendidikan negara mampu untuk menjadi pemacu kepada perpaduan nasional seperti yang direkodkan di dalam Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.

Kami juga ingin menyeru kepada Menteri Pendidikan Malaysia agar tidak tunduk kepada tekanan pihak tertentu yang ingin memaksa kerajaan Malaysia mengiktiraf sistem UEC ini. Amaran keras kami buat Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching agar tidak sombong dan melampaui batas.

Sekiranya kamu berkeras ingin memaksa kerajaan Malaysia mengiktiraf sistem UEC ini, kami rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan tidak akan berkompromi dan akan pastikan kamu keluar daripada Putrajaya serta merta.

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh mahasiswa, anak muda Malaysia, pihak media dan pihak polis yang hadir dalam Himpunan Mahasiswa Bantah UEC, kelmarin. Kami percaya angka yang lebih besar di luar sana juga membantah pengiktirafan UEC ini.

Kami seru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan agar teruskan momentum bantahan ini dan jangan pernah berhenti. Kami mahasiswa akan terus berjuang membantah pengiktirafan UEC ini sehinggalah perjuangan ini berjaya membuahkan hasilnya.

Akhirnya, kami mahasiswa dalam masa terdekat ini akan ke pejabat Dong Zong, siap siaga semua! Kami akan menyerahkan satu memorandum khas amaran kepada mereka dan kami juga akan menyerahkan surat jemputan untuk berdebat dengan mahasiswa kepada Datuk Vincent Lau, Presiden Dong Zong berkaitan isu UEC ini. Nantikan kenyataan rasmi kami untuk maklumat lanjut.

Semoga Allah pelihara dan rahmati rakyat Malaysia. Allahuakbar!

“Istiqamah Bersama Islam”

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – HARAKAHDAILY 23/7/2018

- Advertisement -