Mana hudud dalam manifesto PAS dan Gagasan Sejahtera?

idris2
- Advertisement -

TERIMA kasih jika yang bertanya, jikalau benar-benar ikhlas untuk melihat hukum Allah SWT ditegakkan.

- Advertisement -

Kalau hanya hendak perli semata-mata maka ini jawapannya.

Daripada 20 tawaran Gagasan Sejahtera yang dibaca oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, perkataan hudud yang dicari.

Bagi mereka yang perli ini, adakah mereka hendak sokong?

RUU 355 yang tidak mengubah prinsip apa-apa pun hiruk pikuk. Pada hal Mahkamah Syariah yang sama, hakim yang sama, pendakwa yang sama. Cuma hendak ditingkatkan bidang kuasa saja daripada 6 rotan kepada 100 sebatan syariah (bukan sebatan mahkamah sivil).

Terlalu marah dengan PAS sehingga sudah hilang rasional.

Sila lihat dalam teras keenam, “pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras dengan kehendak syariah”.

Sila lihat juga di dalam tawaran kesebelas di dalam manifesto Gagasan Sejahtera “memperkasakan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai al Din iaitu sistem yang melengkapi seluruh aspek kehidupan”.

Ertinya ayat yang diguna pakai di dalam teras dan tawaran ini sudah jami’dan mani’ (merangkumi semua).

Saya tidak mahu minta mana pula manifesto dan tawaran mereka mengenai untuk memperkasakan syariah.

Inilah masalahnya bukan tidak faham, tetapi buat tidak faham.

Untuk pengetahuan semua, Kanun Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, bukan sahaja hudud, tetapi juga qisas dan takzir. Hudud sebahagian daripada syariah Islam.

Sebagai seorang Islam kita tidak boleh menolak hukum qisas dan takzir. Malahan satu ayat di dalam Al-Quran pun tidak boleh ditolak.

Menunjukkan PAS bukan parti menghukum, tetapi yakin penyelesaian ada bersama Islam.

PAS dan Gagasan Sejahtera bukan hendak membawa negara teokrasi, otokrasi dan revolusi.

PAS dan Gagasan Sejahtera bukan hendak membentuk negara ala Iran, ala Saudi, bukan IS. Tetapi PAS tetap mengambil pendekatan demokrasi.

PAS dan Gagasan Sejahtera tidak akan memisahkan Islam dalam politik dan bernegara.

Gagasan Sejahtera juga akan mengukuhkan institusi agama yang sedia ada seperti Jabatan Agama Islam dan Jabatan Kemajuan Islam, jauh sekali untuk menghapuskannya.

Payah menerangkan kepada golongan yang serba salah ini, mereka fikir PAS ini parti hendak hukum orang ja.

Biar rakyat menilai tawaran Gagasan Sejahtera berbanding dengan BN dan PH.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
22 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 22/3/2018

- Advertisement -