MB N9 galakkan keganasan dan budaya samseng

- Advertisement -

ADALAH sangat salah bagi Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamed Hassan, untuk menggalakkan keganasan. Video baru-baru ini yang telah menjadi viral menunjukkan bagaimana tidak berbudaya dan tidak bertamadunnya Mohamed Hassan, yang mahu terus berkuasa, bukan dengan cara aman dan dapat diterima secara demokratik, tetapi dengan menghasut dan menggalakkan keganasan terhadap mereka yang mengkritik kerajaan.

- Advertisement -

Mohamed Hassan dilaporkan berkata kepada hadirin yang terdiri daripada Pemuda Barisan Nasional di Rembau supaya mengambil “Tindakan fizikal terhadap mana-mana premis perniagaan yang dilihat memfitnah kerajaan”. Dia juga berkata, “Sekiranya polis mengambil tindakan terhadap mereka (Pemuda BN), dia akan bertanggungjawab”. Mohamed Hassan menghadiri Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda Umno di Rembau, Negeri Sembilan pada Ahad 18 Mac.

Patriot berasa jijik dengan ucapan Mohamed Hassan yang dibuat di hadapan Menteri Belia, Khairy Jamaluddin dan pemuda BN di Rembau, Negeri Sembilan. Tingkah lakunya tidak mencerminkan seorang ahli politik dan seorang pemimpin di peringkat negeri. Kelakuan seperti samseng itu adalah salah dan tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia kita. Ucapannya tidak diterima dengan baik oleh masyarakat umum dan ramai yang telah menonton video itu meluahkan cemuhan dan perasaan jijik.

Kami tertanya-tanya sama ada dia fikir sebagai Menteri Besar memberinya hak dan keistimewaan untuk mengatakan apa sahaja yang diinginkan, walaupun bertentangan dengan kanun jenayah. Lebih teruk lagi apabila beliau menghasut penyokong partinya agar mengambil tindakan fizikal terhadap sesiapa sahaja yang dilihat mengkritik kerajaan. Kami juga tertanya-tanya apakah dia fikir sebagai Brigadier Jeneral Kehormat Pasukan Simpanan Tentera Darat memberi hak kepadanya untuk mengancam orang awam dan pembangkang. Patriot ingin memaklumkan bahawa Jeneral Tentera tidak berkelakuan seperti beliau. Beliau tidak memiliki kehormatan.

Patriot sentiasa mengingatkan para ahli politik untuk menunjukkan tingkah laku dan teladan yang baik, dan ucapan yang mereka buat seharusnya menggalakkan rakyat untuk bersatu, menunjukkan patriotisme, dan membina masyarakat Malaysia yang harmoni. Jika ahli-ahli politik terus membuat ucapan benci seperti Mohamed Hassan, maka kita boleh menjangkakan pengundian pada pilihan raya akan datang tidak akan bebas dari keganasan.

Tidak kira sama ada terdapat laporan polis yang dibuat terhadap Mohamed Hassan atau sebaliknya, Patriot menggesa pihak polis untuk menyiasat sepenuhnya ucapan yang dibuat oleh Mohamed Hassan dan mengambil apa-apa tindakan yang diperuntukkan dalam undang-undang. Patriot menuntut Mohamed Hassan memohon maaf secara umum dan menunjukkan penyesalan atas kelakuannya yang tidak sopan.

BG DATO MOHAMED ARSHAD RAJI (B) 
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan – HARAKAHDAILY 22/3/2018

- Advertisement -