Konsep masyarakat majmuk dalam pemerintahan Islam

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH. Allah S.W.T menurunkan agama Islam yang sangat sesuai untuk diamalkan oleh manusia. Di dalam al-Quranul Karim, Allah S.W.T berfirman:

- Advertisement -

إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

“(Maksudnya) Sesungguhnya Kami ciptakan manusia di dunia ini berbilang bangsa dan keturunan. Untuk mereka saling kenal-mengenali di antara satu sama lain. Dan manusia yang terbaik adalah orang yang paling bertakwa kepada Allah S.W.T.”

(al-Hujurat: 13)

Para hadirin, sidang pendengar yang dirahmati Allah sekalian. Allah S.W.T merungkaikan ketidak tamadunan masyarakat jahiliyah di zaman silam, dan Islam akan merungkaikan semua sekali masyarakat yang tidak bertamadun di atas muka bumi ini.

Allah yang mencipta manusia daripada berbagai-bagai keturunan, berbagai-bagai bangsa dan berbagai-bagai warna kulit. Semua ini adalah ciptaan daripada Allah dan Allah sama sekali tidak membenarkan satu pihak mengatasi pihak yang lain. Satu kumpulan tidak boleh menghina kumpulan yang lain. Berkulit putih tidak boleh menghina manusia yang berkulit hitam.

Allah jadikan manusia ini sama, semua mereka ini daripada Nabi Allah Adam A.S bersama dengan isterinya Hawa A.S yang dicipta oleh Allah S.W.T sejak daripada awal.

Lantasan itu, Islam meletakkan satu kaedah yang kita panggil sebagai syariah supaya semua manusia yang dicipta oleh Allah, mereka mampu berada di bawah satu naungan iaitulah naungan Islam.

Kalau manusia ini berada di bawah naungan manusia, naungan bangsa, tentunya bangsa itu akan menghina bangsa yang lain. Kalau orang yang berbangsa Melayu, kalau mereka berjuang untuk Melayu, pastinya mereka akan menindas bangsa lain.

Yang berkulit putih, kalau mereka memperjuangkan bangsa mereka, mereka akan menindas warna kulit yang lain. Lantaran itu, Allah S.W.T menurunkan satu agama kepada Nabi S.A.W yang disebut sebagai agama Islam di mana sifat agama Islam ini:

رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

“(Agama yang) Memberi rahmat kepada semua (manusia).”

(al-Anbiya’: 107)

Pokoknya Islam ini akan mengurus kehidupan manusia mengikut kehendak al-Quranul Karim, bukan mengikut kehendak bangsa, bukan mengikut kehendak keturunan. Apabila semua manusia ini tunduk kepada satu agama yang diturunkan oleh Allah S.W.T, sama ada mereka memeluk agama Islam ataupun mereka tidak mahu memeluk agama Allah, pokoknya mereka tunduk kepada syariat Islam. Kita lihat syariat Islam sahaja yang mampu memayungi semua kaum, kerana sifat agama Islam, dia tidak memperjuangkan perkauman.

Islam tidak memperjuangkan warna kulit. Islam tidak memperjuangkan kerana agama. Tetapi Islam memperjuangkan keadilan. Keadilan mencakupi semua masyarakat yang ada di atas muka bumi. Islam memperjuangkan kebaikan, keutuhan, ketamadunan, kemajuan. Semua manusia ini berhajat kepada apa yang disebut di dalam agama Islam.

Justeru itu, kalau kita ingin melihat masyarakat dunia pada hari ini berada dalam keadaan aman damai, tidak sebagaimana hari ini, maka manusia mahu tidak mahu dia mesti kembali kepada agama fitrah yang diturunkan oleh Allah tuhan yang mencipta manusia, tuhan yang mencipta langit, mencipta bumi. Dan Allah S.W.T tidak pernah menurunkan satu syariat supaya manusia ini memperjuangkan kumpulan mereka ataupun bangsa mereka, ataupun agama mereka. Tetapi Islam memperjuangkan agama yang fitrah, bangsa yang semula jadi yang dicipta oleh Allah iaitulah semua dalam kalangan masyarakat yang ada dalam dunia, kita semua adalah bersaudara. Kita semua adalah sedarah, sedaging yang dicipta oleh Allah S.W.T.

Jadi sebab itu, Islam mencipta hubungan manusia yang paling utuh berbanding dengan sekalian idealogi-idealogi yang lain, dan sekalian agama-agama yang lain yang ada di atas muka bumi Allah S.W.T.

Jadi lantaran itulah saya menyeru kepada semua pendengar supaya mereka memahami Islam. Bagi yang belum menganut agama Islam supaya mereka memahami Islam ini dengan baik, dengan jujur, dengan ikhlas. Insyaa Allah apabila mereka memahami Islam, mereka tidak akan bermusuh dengan Islam.

Bagi kumpulan-kumpulan Islam pula, saya menyeru supaya mereka ini mendalami ilmu Islam, bukan sekadar mereka menganut ajaran Islam, mereka hanya tahu sembahyang, puasa, zakat, haji. Tapi saya menyeru kepada kaum Muslimin supaya mereka mendalami ilmu Islam. Apabila mereka mendalami ilmu Islam, mereka akan faham kesyumulan Islam yang sangat hebat, yang ada dalam agama Islam yang mencakupi pemerintahan dunia yang Islam ini mampu memayungi seluruh masyarakat sama ada mereka yang beriman kepada Allah ataupun yang tidak beriman kepada Allah S.W.T.

Mudah-mudahan ucapan yang ringkas ini akan memberi penerangan kepada semua masyarakat terutamanya masyarakat yang berada di Malaysia sebagai sebuah rumpun masyarakat majmuk yang dicipta oleh Allah. Kita semua bersaudara.

Dan marilah sama-sama kita merapatkan hubungan persaudaraan ini walaupun kita berbeza agama, kita berbeza bangsa, kita berbeza warna kulit. Marilah sama-sama kita bersatu. Mudah-mudahan Insyaa Allah kita diberkati oleh Allah dan kita akan berada dalam sebuah masyarakat yang utuh, yang hebat, yang kukuh. Dan kita mampu berhadapan dengan mana-mana kuasa besar yang ada di atas muka bumi pada hari ini yang sentiasa mencabar negara-negara ketiga ini. 

(Teks transkrip dari Ucapan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS di Live Facebook Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat semalam yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR– HARAKAHDAILY 15/3/2018

- Advertisement -