Muslimat diseru teguhkan amal perjuangan

- Advertisement -

SIK: Muslimat PAS tidak harus merasakan status sebagai wanita untuk berasa lemah dan berada di belakang dalam saf perjuangan menegakkan agama Allah S.W.T, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Sik, Nor Hashimah Ahmad.

- Advertisement -

Sebaliknya ujar beliau, Muslimat mesti bersama memegang erat tangan-tangan yang mahu melihat Islam tertegak di bumi ini serta berpautlah kepada alim ulama dengan berpegang teguh akan ayat-ayat Allah seterusnya membimbing ke jalan keredhaan.

“Peluklah perjuangan ini sekuatnya, nescaya kita akan merasa kehangatan kemenangan yang dijanjikan Allah sama ada kemenangan di dunia atau kemenangan di akhirat sana,” lontarnya penuh semangat dalam taujihat sempena Majlis Munajat Khas Kemenangan Islam Muslimat Sik di Markas MTD Belantik, di sini kelmarin.

Tambahnya, perjuangan ini menuntut pengorbanan dan mampu dilaksana oleh mereka yang menggenggam kemas janji Allah, bahawa Islam pasti tertegak, sama ada sempat dilihat atau pada zaman generasi lain.

Beliau juga berkata, setiap saat keberadaan dalam jamaah ini akan dikira sebagai amal jariah dan bekalan menuju alam abadi nanti, maka perlulah berperanan mendukung kebenaran melalui perjuangan PAS.

Seru beliau, Muslimat tidak perlu takut provokasi lawan sebelum, semasa atau selepas melakukan program parti kerana sudah menjadi asam garam perjuangan Islam sejak dahulu.

Hashimah juga dalam pada itu turut mengingatkan Muslimat untuk banyak membaca kerana menurutnya, dalam dunia yang langit terbuka ini pelbagai fitnah dilemparkan kepada PAS.

“Maka kita perlu menjadi benteng untuk menjawab fitnah tersebut dengan pengetahuan yang kita miliki agar terpelihara parti kita ini dari anasir yang merosakkan,” terangnya. – HARAKAHDAILY 

- Advertisement -