Radhi meriahkan semangat perasmian Markas Selengkoh

- Advertisement -
JERAI: PAS MTD Sungai Limau telah mengadakan perasmian Markas UPU Selengkoh yang turut dimeriahkan oleh kehadiran lagenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din pada majlis di Kampung Kabu 10, di sini kelmarin.
 
Bekas pemain dan jurulatih pasukan Hijau Kuning itu terdahulu disambut dan diiringi anak muda dengan konvoi motosikal diketuai Alternative Riding Club (ARC) dari Kampung Tualang, Bukit Besar.
 
Radhi dalam sesi perkongsian pengalamannya menyentuh mengenai peranan sukan dalam membawa mesej dakwah menerusi penjagaan syariat dan akhlak ahli sukan yang terpandang sebagai ikon masyarakat.
 
Beliau yang 25 tahun berkecimpung langsung sebagai pemain dan jurulatih bola sepak terkenang Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak yang sangat menjaga perihal solat, termasuk kalangan penyokong.
 
Perkara itu ujarnya, dilaksana menerusi peraturan memasuki stadium selepas waktu Maghrib selain menyediakan kemudahan tempat solat yang banyak di sekitar stadium.
 
Jelas Radhi lagi, tingkah laku pemain juga penting sebagaimana dizahirkan antaranya oleh pemain bola sepak Liverpool, Mohd Salah yang mengangkat tangan berdoa serta bersujud setiap kali menjaringkan gol hingga meletuskan fenomena.
 
Beliau juga menyeru agar petugas PAS memiliki sikap optimis dan positif dalam melaksana gerak kerja parti di bawah arahan pimpinan, selain mendapatkan maklum balas daripada masyarakat.
 
Namun nasihat Radhi, petugas juga diingat tidak mempunyai sikap terlalu yakin yang lalai hingga tidak memenuhi strategi digariskan parti untuk mencapai kemenangan disasarkan.
 
Pembinaan markas tersebut menjadi kebanggaan dan simbol kekuatan yang disiapkan hasil sumbangan wang serta gotong-royong ahli PAS dalam hanya 20 hari, sekali gus sebagai pusat operasi UPU tersebut.
 
Perasmiannya telah disempurnakan Adun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat dan turut dihadiri Yang DiPertua PAS Kawasan Jerai, Ustaz Musoddak Ahmad. -HARAKAHDAILY 11/3/2018
- Advertisement -