Dalang di belakang politik gugat Islam mesti dikekang

- Advertisement -
JERAI: PRU14 sangat genting kepada umat Islam dalam mengekang dalang di belakang entiti politik tertentu yang berkembang giat dengan menggugat cara hidup, umat dan agama Islam itu sendiri ketika ini.
 
Peringatan itu disuarakan penegasannya oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Jerai, Ustaz Musoddak Ahmad ketika berucap pada perasmian Markas PAS UPU Selengkoh di Kampung Kabu 10, di sini semalam.
 
“PRU14 merupakan satu medan kepada kita sebagai umat Islam untuk menentukan hala tuju Islam di Malaysia. Jika dulu, jarang sekali orang ramai memperkatakan isu-isu seperti pesta arak, LGBT, Liberal dan seumpama itu.
 
“Namun sekarang, isu-isu tersebut menjadi ancaman kepada ‘the way of life’ kita sebagai orang Islam. Adalah satu perkara membimbangkan kita, isu-isu ini akan memberi kesan.
 
“Terutama kepada anak cucu kita di masa depan, jika ia tidak diuruskan dengan baik,” ujarnya yang juga Setiausaha PAS Negeri Kedah mengingatkan perihal ancaman tersebut.
 
Sehubungan itu nasihat beliau, pendukung PAS tidak seharusnya tertumpu kepada isu-isu ekonomi seperti masalah kos sara hidup sahaja, tetapi lebih penting adalah isu agama.
 
Beliau juga memberikan peringatan agar para amilin mempunyai persiapan diri untuk menghadapi Umno-BN yang akan menggunakan segalanya termasuk jentera kerajaan.
 
Manakala Adun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat yang merasmikan markas tersebut menyeru para amilin menggunakan semua tawaran PAS untuk mendekati dan menerangkan kepada masyarakat.
 
Jelasnya, semua itu, yakni Dokumen Hijau, Wawasan Induk Negara Sejahtera dan manifesto Gagasan Sejahtera Kedah merupakan dasar perjuangan, usaha perubahan dan penyelesaian serta rangka kerja yang berteraskan Islam.
 
Hadir sama pada majlis itu adalah Setiausaha PAS Jerai, Ustaz Muaaz Othman dan Timbalan Pengarah MTD Gurun, Muzaini Azizan serta para pimpinan PAS Kawasan dan Cawangan. -HARAKAHDAILY 11/3/2018
- Advertisement -