Rusia luaskan kuasa di Asia Barat dan Afrika

- Advertisement -

SEJAK tercetus kebangkitan di rantau Asia Barat dan Afrika Utara pada penghujung 2010 dan ekoran percaturan geopolitik yang berlaku, Rusia telah muncul sebagai kuasa yang berjaya membina hubungan baharu dengan negara-negara serantau, dan pada masa sama merapat dan mengukuhkan lagi hubungan dengan sekutu lama Syria dan Iran.

- Advertisement -

Kebelakangan ini, walaupun masih kekal sebagai kuasa utama di Asia Barat, Amerika Syarikat mula menyaksikan kemerosotan kuasa dan pengaruhnya, apabila pakatan Rusia, Turki, Syria, dan Iran – bersama aktor bukan negara disokong Iran – mula merapatkan hubungan dan bertindak bertentangan dengan kepentingan Washington.

Dua sekutu penting AS, paling utama Turki, dan juga Qatar, telah bergerak semakin jauh bersama satu kerjasama dan persefahaman dengan Rusia, disebabkan kepentingan nasional masing-masing tergugat oleh perkembangan serantau yang semakin kritikal, melibatkan konflik Syria, dan kepungan Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Mesir, dan Bahrain bagi Qatar.

Perkembangan terkini, termasuk akibat tindakan politik di Washington yang dihalakan kepada Presiden Donald Trump, berpotensi membantu dan menyumbang kepada tindakan Moscow untuk terus mengukuhkan kuasa dan pengaruhnya di Asia Barat dan kawasan sekitarnya.

Mesir

Selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak, hubungan Washington-Kaherah terus berubah walaupun pada masa kini hubungan AS dengan Presiden Abdel Fatah al-Sisi berada pada tahap yang baik, sebahagiannya berkait dengan hubungan baik Sisi dengan Israel, Emiriyah Arab Bersatu, dan Arab Saudi. Walau bagaimanapun, Moscow kini mencapai satu tahap hubungan baik yang baharu bersama Sisi, yang mengharapkan kerjasama dan bantuan Rusia, selain AS. Rusia kini lebih bersedia menghulur bantuan kepada Mesir, dan pada masa sama kerjasama dalam bidang ketenteraan ditingkatkan, memberikan Rusia satu sekutu yang pantainya meliputi timur Mediterranean dan Laut Merah.

Sudan

Sudan yang baru mendapat sedikit kebebasan daripada peminggiran yang dikenakan oleh AS kelihatan mengharapkan kerjasama yang luas dengan Rusia, daripada makanan dan pertanian hingga kepada pertahanan dan diplomasi, ekoran tekanan yang dihadapinya daripada AS. Walaupun sebahagian sekatan telah dihentikan, Khartoum tidak bebas sepenuhnya dan Presiden Omar al-Bashir masih berdepan tindakan mahkamah antarabangsa berhubung dakwaan jenayah perang. Tepat pada masa Rusia meluaskan kerjasama di rantau ini, Sudan menawarkan peluang ini, dan kini satu pangkalan tentera Rusia di Laut Merah mula dipertimbangkan. Pada masa sama, Sudan menjadi pengimport utama gandum Rusia, dan menjalin kerjasama pembangunan ketenteraan. 

Syria-Iran

Bermula 2015, Rusia memulakan operasi ketenteraan di Syria, melindungi pemerintahan Bashar al-Assad yang cuba dijatuhkan oleh Turki, negara-negara Arab dan proksi, dan kuasa-kuasa Barat. Rusia memulakan satu tindakan yang menandakan kesediaannya bertindak sebagai sebuah kuasa global melalui tindakan ini, pada masa sama melindungi kepentingannya melibatkan sebuah sekutu Arab dan pangkalan tentera laut di timur Mediterranean. Bersama Iran, sebuah lagi sekutu Syria, Rusia menegaskan yang Syria ialah di bawah kawalannya dengan lebih tegas. Rusia hampir sepenuhnya menguasai Syria ekoran kelemahan kerajaan Syria yang telah berperang dan kehilangan wilayah selama lima tahun pada masa Rusia campur tangan. -HARAKAHDAILY 22/2/2018

- Advertisement -