Kelantan terus buktikan kecemerlangan pemerintahan PAS

- Advertisement -

SEORANG pengarang kanan dalam akhbar harian The Star baru-baru ini telah memberikan analisis beliau berkenaan keadaan politik di negeri Kelantan dan bacaan beliau terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

- Advertisement -

Beliau berpandangan PRU 14 nanti di negeri berkenaan hanya akan tertumpu pada pertembungan antara dua kuasa politik tradisi iaitu Umno dan PAS. Bagi beliau parti-parti lain termasuklah PBBM dan Pan akan menghadapi laluan sukar. 

Menurutnya lagi PBBM yang dikepalai Tun Dr Mahahtir Mohamad akan menempuh jalan sukar kerana Tun tidak mempunyai rekod yang baik dikalangan rakyat Kelantan. Sebahagian besar permasalahan yang melanda negeri berkenaan disumbang oleh Mahathir terutama sepanjang 22 tahun beliau menjadi PM dahulu yang banyak menekan negeri dan rakyat berkenaan.

Pan juga dijangka memiliki nasib yang sama lantaran permasalahan  pimpinan mereka dengan istana Kelantan. Pan selaku parti serpihan PAS hanya dijangka mengikis di sini sana pengaruh PAS tetapi tidak mampu merampas kuasa di Kelantan sebagaimana digembar-gemburkan.

Atas itu pengarang berkenaan membuat kesimpulan besar kemungkinan Kelantan akan bertukar kuasa dengan rakyat negerinya memberikan kembali kuasa kepada Umno dan BN setelah hilang genggaman kuasa lebih 28 tahun lalu.

Tiada alasan dan hujah kukuh dikemukakan. Beliau sekadar memetik isu pembangunan yang kononnya ketandusan di Kelantan selain ketiadaan al-Marhum Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai satu faktor penyumbang kepada kejatuhan PAS, seolah tanpa Tok Guru PAS tidak mampu mengekalkan kuasanya.

Itu hujah dan pandangan beliau. Mungkin atas arahan atau sebab tertentu beliau sengaja menyepi dan menyembunyikan beberapa pencapaian besar kerajaan negeri PAS yang tidak mampu diperolehi Umno BN sebelum ini.

Beliau gagal mengenengahkan bahawa kerajaan negeri Kelantan diiktiraf sebagai salah sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai rekod aspek pengurusan yang terbaik. Pada tahun 2017 kerajaan negeri yang diketuai PAS memperolehi pencapaian kewangan terbaik dalam tempoh 26 tahun pemerintahannya.

Kerajaan negeri telah berjaya menjimatkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM2.9 juta pada tahun 2017 berbanding 2016 dan berjaya mencatatkan lebihan atau “surplus” sebanyak RM38.76 juta pada tahun 2017 berbanding defisit RM33.47 juta pada tahun 2016.

Malah hasil kerajaan negeri sesungguhnya meningkat dari RM497.20 juta pada tahun 2016 ke RM566.52juta iaitu peningkatan sebanyak RM69.32 juta. 

Bagi pengarang berkenaan mungkin apa yang dinyatakan ini tidak penting, tetapi buat rakyat Kelantan dan para pemerhati politik serta rakyat Malaysia umumnya inilah bukti kekuatan parti memerintah dalam menguruskan sebuah negeri tambahan berjhadapan dengan pelbagai tekanan dan kekangan dari pihak persekutuan terutama sepanjang 22 tahun pemerintahan Mahahthir dulu.

Kemampuan ini menunjukkan PAS berjaya melahirkan saf kepimpinan negeri yang dinamik, berintegriti dan paling penting bertaqwa sehingga sanggup dan mampu meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan mana-mana pihak, kroni atau individu kerana mentaati titah perintah Allah SWT.

Inilah kekuatan unik yang melonjakkan PAS sebagai satu-satu parti politik yang menjadi tumpuan dan perhatian ramai, terutama saat dan ketika rakyat dan negara menghadapi pelbagai ujian dan tekanan hasil dari keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

Kelantan melalui kepimpinan ulamak yang diwarisi dari zaman Almarhum Tok Guru sehinggalah kini ke era Ustaz Dato’ Ahmad Yakob, pewaris yang ditunjuk sendiri oleh al-Marhum Tok Guru, ternyata berjaya menzahirkan kepimpinan Islam yang menjadi kebangaan semua umat Islam bukan hanya di Kelantan malah seluruh negara.

Di Kelantan tiada kebimbangan tentang ketirisan, salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan kerana bumi Serambi Mekah ini melalui PAS telah melahirkan modal insan khususnya di saf kepimpinan negeri yang berkualiti dan mampu memacu Kelantan menjadi sebuah negeri yang bersih dan bebas rasuah.

Kerajaan negeri yang berintegriti seumpama ini telah menarik minat para pelabur dan pemaju, kerana tiada lagi sogokan bawah meja atau komisyen gelap yang perlu dibelanjakan untuk masuk ke negeri ini.

Pembangunan hartanah dan gedung-gedung serta kompleks membeli-belah dan pasaraya banyak menukar landskap negeri Kelantan berbanding semasa ia pada zaman BN dahulu, itu pun kerana kerajaan persekutuan dipegang BN.

Apa pun kesimpulannya akhbar berkenaan berhak membuat apa sahaja bacaan dan tilikan politik sesuka mereka, hakikatnya rakyat Kelantan sendiri tahu kemana arah tuju dan haluan mereka. Di negeri-negeri lain pimpinan negeri berhadapan dengan pelbagai pertuduhan dan kes rasuah dan penyelewengan tetapi di Kelantan segalanya lancar dan bermoral.

Masakan rakyat Kelantan mahu kembali ke pangkuan Umno yang telah mereka kenal berdekad sebelum ini apatah lagi Pakatan Harapan yang kini dinaungi Mahathir yang punya rekod tempang dan pincang yang tidak dapat dilupakan bukan sahaja oleh rakyat Kelantan malah rakyat seluruh negara.

Kekallah PAS untuk terus memerintah Kelantan, biar kekal sejahtera ia berpayungkan Islam sebagai model buat rakyat dan negeri lain malah negara kita Malaysia. Rakyat Kelantan tidak akan tertipu dan semoga begitulah rakyat Malaysia keseluruhannya dengan izin Allah SWT. -HARAKAHDAILY 22/2/2018

- Advertisement -