Jangan cepat melatah…

- Advertisement -

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Sebulan yang lepas, dunia dikejutkan dengan berita bahawa seorang ahli parti berhaluan kiri di negara Jerman telah memeluk Islam. Parti tersebut, Alternatif untuk Jerman (AfD) adalah yang ketiga terbesar di parlimen, Bundestag. 

- Advertisement -

AfD amat terkenal dengan pendirian anti-Islam dan anti-immigrasi dan slogannya ialah tiada tempat untuk Islam di negara Jerman. AfD juga berusaha keras untuk mendapatkan pengharaman semua pembinaan serta perjalanan masjid. 

Parti itu antara lain juga pernah menjalankan kempen iklan berbentuk ala Nazi untuk menakutkan masyarakat terhadap Islam dan cuba mengarahkan agar polis sempadannya menembak semua pendatang tanpa izin yang cuba menyelinap masuk ke negara itu.  

Namun Arthur Wagner, salah seorang dari pemimpin tertinggi AfD, mendapat hidayah Allah SWT dan memilih Islam setelah selalu berinteraksi dengan kelompok masyarakat yang sepatutnya beliau tentangi.

Dalam sebuah temuramah, beliau mengatakan bahawa keputusan untuk memeluk Islam sudah dipertimbang sejak tahun 2015 ketika berada di bandar bermajoriti masyarakat Islam di Ufa, Rusia, namun hanya pada bulan Oktober tahun lepas ianya menjadi rasmi.

Nama Arthur, atau nama Islamnya, Ahmed, kini tiada lagi dalam senarai ahli jawatankuasa partinya.  Dia juga telah meletakkan jawatannya dalam parti atas sebab-sebab peribadi. 

Di dalam sejarah Islam, dari awal ketika zaman Rasulullah s.a.w. lagi, situasi sebegini banyak berlaku. Seseorang yang asalnya berbangsa Quraisy dan amat menentang Islam, akhirnya menjadi antara pejuang Islam yang terhebat.

Saidina Umar Al-Khattab contohnya, sebelum memeluk Islam, boleh dikatakan orang nombor satu Quraisy yang amat anti-Islam. Beliau seorang yang berani dan tegas. 

Pada waktu beliau dalam perjalanan ke rumah Rasulullah s.a.w. dengan hasrat untuk membunuhnya, beliau telah bertemu rakannya yang memaklumkan bahawa beliau perlu bertemu adiknya dahulu kerana adiknya juga telah memilih Islam.

Beliau terus ke rumah adiknya, dan di sana baru dapat mengenali Islam dengan sebenar dan dengan lebih dekat, dan Umar telah memeluk Islam pada hari yang sama.

Kita sebagai ahli sebuah gerakan dakwah dan parti politik Islam, haruslah jangan cepat melatah dan ingin bertindakbalas atas semua provokasi serta serangan dari pihak lain. Janganlah layan sangat perasaan ingin menyelesaikan rintangan dengan seorang diri atau dengan cara tersendiri.

Jika dirasakan sangat tercabar dengan apa yang berlaku, berbincanglah dengan rakan-rakan, ahli jemaah dan keluarga dan cari jalan penyelesaian. Jika masih buntu, bertanyalah pendapat orang-orang yang lebih berilmu dan InsyaAllah pastinya mereka akan dapat memberikan dalil dan nas serta pendapat mereka untuk menguraikan permasalahan yang dihadapi.

Pada awal 90an ketika belajar di MRSM Kuala Terengganu, saya ada beberapa rakan yang disegani dan berilmu tinggi, antaranya Mohd Hazrul Hashim dan Abdul Fattah Abdul Wahab (kini Dr). Antara tip yang mereka kongsikan ialah, apabila sesuatu kisah, pengalaman atau idea yang tidak elok mula masuk ke minda dan cuba merosakkan fikiran, cuba bayangkan kisah atau pengalaman tu dibuang jauh-jauh.

Setiap kali ia cuba masuk kembali ke dalam minda, buang cepat-cepat. Setelah berulang kali dilakukan, insyaAllah, akhirnya kita sendiri akan lupa mengapa kita boleh begitu terkesan pada mula-mulanya.

Kita jangan lupa mengapa kita diturunkan di muka bumi ini, dan teruskan dengan gigih misi dakwah dan menyebarkan mesej Islam. Apa pun dihadapi dan sebagaimana hebat pun cabaran yang dihadapi dari semua sudut, kita akan kekal terus mendukung mesej Islam, dan ingatlah, hanya Allah yang boleh membuka hati-hati manusia untuk menerima hidayahnya. -HARAKAHDAILY 22/2/2018

- Advertisement -